Jodoh Safawi Bersama TFC Berakhir, Coach Bad Buru 5 Pemain Import
Hafiz Omar

Kelibat penyerang sayap kelahiran Dungun, Terengganu yang dipinjamkan oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Safawi Rasid bersama Terengganu FC menemui titik noktahnya selepas semusim.
Ini selepas kelab berpangkalan di pantai timur itu mamasukkan nama penyerang berusia 28 tahun berkenaan dalam senarai pemain yang dilepaskan menerusi satu kenyataan yang disiarkan kepada umum pada Selasa.
Turut sama menyertai senarai itu ialah Nor Hakim Hassan, Syafik Ismail, Syaiful Haqim serta empat pemain import, Ismaheel Akinade, Manuel Ott, Ivan Mamut dan Nelson Bonilla.
Menerusi kenyataan itu juga, Terengganu FC mengesahkan seorang pemain import daripada musim lalu, Nurillo Tukhtasinov yang masih mempunyai kontrak sehingga penghujung tahun ini.
Selain itu, khidmat bek kanan kelahiran Pulau Pinang yang berusia 24 tahun, Azam Azmi Murad, terus dipinjam oleh Terengganu FC daripada JDT untuk mengharungi Liga Malaysia 2025-2026.
Bagi jendela perpindahan kali ini, bermula 9hb Jun hingga 31hb Ogos, skuad bimbingan Badrul Afzan atau lebih dikenali sebagai Coach Bad merancang untuk membawa masuk tujuh pemain baharu.
Lima daripadanya terdiri daripada pemain-pemain import yang akan mengisi kekosongan di bahagian serangan, tengah dan pertahanan. Difahamkan, pihak kelab dan para pemain tersebut telah mencapai persetujuan dan sedang melengkapkan proses dokumentasi.
Sementara itu, baki dua pemain lagi merupakan pemain tempatan. Kesemuanya akan dimumkan menyertai Terengganu FC secara rasmi, sebelum 5hb Julai, setelah segala urusan disempurnakan.
Featured Image: Terengganu FC