KDN FC Perlu Berani Melabur, Guna 10 Pemain Import – Annuar Musa

June 18, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Tokoh yang memimpin Kelantan FA atau nama julukannya, The Red Warrior menjadi kelab handalan tanah air suatu masa dahulu iaitu Tan Sri Annuar Musa menasihatkan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) berani melabur untuk membentuk pasukan yang kompetitif.

Ini termasuk dengan mendapatkan sekurang-kurangnya sepuluh pemain import bagi membarisi KDN FC untuk menghadapi saingan Liga Malaysia 2025-2026 yang akan membuka tirainya Ogos kelak.

“Dua atau tiga pemain kebangsaan negara ASEAN dan sekurang-kurangnya dua pemain asia perlu diikat segera memandangkan KDN ketiadaan pemain lokal yang benar-benar berkaliber tinggi.” katanya menerusi satu hantaran di akaun Facebook rasminya.

Musim hadapan, Malaysian Football League (MFL) selaku penganjur telah menetapkan kesemua kelab Liga Super boleh mendaftarkan maksimum sehingga 15 pemain import.

Bagaimanapun, hanya tujuh pemain boleh beraksi di atas padang sambil dua lagi di bangku simpanan pada hari perlawanan dengan komposisi 4 Terbuka + 1 Asia + 1 ASEAN.

Untuk makluman, KDN FC yang menamatkan kempen Liga Super di tangga tercorot pada musim lalu telah melakukan penstrukturan baharu.

Kini kelab berjulukan Kijang Emas itu berada di bawah barisan baharu, diketuai oleh Dato’ Mohd Irwan Rizal selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di bawah syarikat Kijang Handal Sdn. Bhd.

Tambah Annuar yang juga mantan Timbalan Presiden FAM, penstrukturan baharu KDN FC itu mencerahkan peluang kelab untuk menyelesaikan tunggakan lama memandangkan kelab terus beraksi dalam kancah bola sepak tempatan.

“Semua pihak perlu sabar dan bekerjasama. Ia bukan mudah, malah sesetengah pasukan memilih untuk ‘menutup kedai’.” ujarnya.

Featured Image: Facebook Tan Sri Annuar Musa

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd