Hakimi Abdullah Sertai Skuad Bimbingan Nidzam Jamil
Hafiz Omar

Penyerang sayap kiri yang pernah mencuri perhatian peminat bola sepak tanah air, Hakimi Abdullah kini meneruskan kariernya bersama Negeri Sembilan FC.
Penyertaan pemain berusia 25 tahun itu diumumkan sendiri oleh pihak kelab yang kini di bawah bimbingan Nidzam Jamil menerusi hantaran di pelbagai platform media sosialnya, pada hari ini.
Pemain kidal kelahiran negeri Che Siti Wan Kembang ini menjadi dilabelkan sebagai “super-sub” dalam skuad Terengganu FC di bawah bimbingan Nafuzi Zain khususnya pada musim 2021.

Kelibatnya bersama skuad Hitam Putih cukup diingati ketika mencetak gol tunggal membantu Terengganu FC menumpaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) dalam saingan Liga Super – meleburkan rekod tanpa kalah Harimau Selatan.
Bagaimanapun, selepas musim 2021, prestasinya tidak begitu sebelum terpaksa berehat selama 11 bulan ekoran ditimpa kecederaan melibatkan anterior cruciate ligament (ACL).
Selepas pulih daripada kecederaan itu, Hakimi berhijrah menyertai Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) untuk mendapatkan semula minit permainan dan berusaha untuk kembali ke tahap terbaik permainannya.
Untuk makluman, Hakimi yang memulakan karier bola sepak bersama skuad Piala Belia Kelantan FA adalah pemain baharu yang keempat ditandatangani Negeri Sembilan FC selepas Luqman Hakim, Azri Ghani dan Khuzaimi Piee untuk menghadapi saingan Liga Malaysia 2025-2026.
Featured Image: Negeri Sembilan Football Club