Ong Kim Swee Kekal Di Indonesia Sertai Persik Kediri

June 19, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Jodoh bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan dan Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee bersama Persis Solo yang beraksi dalam kancah Liga 1 Indonesia menemui titik noktahnya, pada hari ini.

Perpisahan itu hadir selepas Kim Swee berjaya membimbing kelab berjulukan Laskar Sambernyawa keluar daripada zon penyingkiran dan menghuni tangga ke-14 dalam tempoh enam bulan.

Pengesahan perpisahan itu dikongsikan Persis Solo menerusi satu hantaran yang turut merakamkan penghargaan buat Kim Swee di pelbagai platform media sosialnya sebentar tadi.

“Persis resmi mengumumkan akhir kerjasama dengan Ong Kim Swee sebagai Pelatih Kepala.” tulis kenyataan kelab.

Bagaimanapun, Kim Swee terus kekal di bumi Indonesia apabila kelab yang menamatkan saingan Liga 1 di tangga ke-12 musim lalu, Persik Kediri mendapatkan khidmatnya.

Satu hantaran yang mengucapkan selamat datang buat Kim Swee dikongsikan di platform media sosialnya, tengah hari tadi.

“Sugeng rawuh Ong Kim Swee.” tulisnya pada grafik yang disertakan dengan fail kontrak berlatarbelakangkan jurulatih berusia 54 tahun berkenaan.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd