Hanya 13 Kelab Sertai Liga Super 25-26, Sri Pahang FC Tarik Diri
June 20, 2025 Hafizuddin Omar

Bukan 14 tetapi hanya 13 kelab yang beraksi dalam saingan Liga Super bagi musim 2025-2026 yang akan membuka tirainya pada 8hb Ogos kelak.

Ini selepas pengelola, Malaysian Football League (MFL) memaklumkan salah satu gergasi pantai timur iaitu Sri Pahang FC membuat keputusan untuk tidak bertanding dalam saingan Liga Malaysia 2025-2026.

Dikhabarkan, keputusan kelab berjulukan Tok Gajah terbabit tidak bertanding dalam Liga Malaysia musim mendatang telah dikemukakan menerusi surat pengesahan bertarikh 16hb Jun 2025.

Oleh demikian, kancah Liga Super kelak hanya akan disertai oleh Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC, Penang FC, Kuching City FC, Sabah FC, Terengganu FC, Negeri Sembilan FC, Kelantan Darul Naim FC, Kuala Lumpur City FC, PDRM FC, Melaka FC, Imigresen FC dan DPMM FC – kelab jemputan dari Brunei.

Aksi Liga Super musim ini akan dimulakan dengan pertembungan melibatkan JDT dan Selangor FC bertempat di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) yang juga merupakan Perlawanan Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah pada 8hb Ogos.

Manakala kejohanan Piala FA pula akan bermula pertengahan Ogos diikuti dengan Piala Malaysia dan MFL Challenge Cup pada Januari 2026.

Menurut MFL, kesemua pertandingan ini akan berlangsung dalam tempoh sepuluh bulan – selepas terpaksa mengharungi tempoh panjang selama 14 bulan pada musim lalu berikutan proses transisi untuk menyelarikan Liga Malaysia dengan liga-liga utama luar negara.

Featured Image: Sri Pahang Football Club

Komen