Tiada Pemain Luar Negara, Nafuzi Bariskan Pemain Tempatan Ke Kejohanan ASEAN B-23
Hafiz Omar

Skuad bola sepak kebangsaan bawah 23 tahun (B-23) nampaknya akan dibarisi pemain-pemain tempatan sahaja untuk berentap dalam Kejohanan ASEAN B-23 Piala Mandiri 2025 di Indonesia.
Ianya tidak seperti skuad senior bimbingan Peter Cklamovski yang dibarisi oleh pemain-pemain berdarah Malaysia dari luar negara ketika beraksi menentang Vietnam baru-baru ini.
Perkara tersebut dikongsikan sendiri oleh ketua jurulatih skuad kebangsaan B-23, Nafuzi Zain dalam satu sidang media yang berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya.
“Untuk masa sekarang ni kita tak ada pemain Malaysia dari luar negara, hanya pemain tempatan sahaja,” katanya sambil ditemani oleh Pengarah Teknikal Skuad Kebangsaan, Tan Cheng Hoe.
Bagi mengumpulkan pemain-pemain tempatan terbaik untuk beraksi dalam kejohanan itu, Nafuzi bersama-sama Cheng Hoe mendedahkan akan mengadakan program “The Elite Games”.
Ianya merupakan satu program untuk mengumpulkan pemain-pemain berusia 23 tahun dan ke bawah yang berbakat untuk dinilai dalam sesi latihan serta “sparring match” oleh barisan kejurulatihan sebelum diserap ke skuad kebangsaan B-23.
Bekas ketua jurulatih Terengganu FC dan Kedah Darul Aman FC itu memaklumkan edisi pertama “The Elite Games” akan berjalan pada 23hb hingga 25hb kelak. Seramai 26 orang pemain akan dipanggil – kebanyakannya pemain yang beraksi dalam kancah Piala MFL, daripada pelbagai kelab.

“Kita mempunyai kelompok pemain yang agak ramai, di sini kita memberi ruang kepada pemain untuk dipilih ke Jakarta,”
“The Elite Game ini merupakan satu (platform) untuk kita menilai pemain-pemain dan untuk mencari bakat-bakat baharu,” tambahnya.
Pemain-pemain terbaik daripada kelompok itu akan dipanggil Nafuzi, dimasukkan dalam senarai 30 pemain, untuk menyertai kem latihan pusat menjelang Kejuaraan ASEAN B-23 yang akan berlangsung dari 1hb Julai hingga 12hb Julai.
Di dalam tempoh itu, Nafuzi mendedahkan anak-anak buahnya akan mengharungi tiga perlawanan persahabatan dengan kelab-kelab Liga Super sebelum terbang ke Jakarta pada 13hb Julai.
Difahamkan, “The Elite Games” ini tidak akan terhenti setakat ini sahaja. Ianya akan dilangsungkan dari semasa ke semasa pada masa akan datang dengan tujuan yang sama lebih-lebih lagi Malaysia B-23 akan turut menghadapi Kelayakan Piala Asia B-23 dan Sukan SEA 2025 pada tahun ini.
Skuad bimbingan Nafuzi akan memulakan kempen dalam Kumpulan A dengan menentang Filipina diikuti Brunei dan Indonesia pada 15hb, 18hb dan 21hb Julai masing-masing.
Hanya tiga juara kumpulan dan satu naib juara kumpulan terbaik sahaja akan layak ke peringkat separuh akhir.
Featured Image: Malaysia NT