2 Pemain Luar Negara Keturunan Malaysia Perkukuhkan Johor Darul Ta’zim

June 24, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Dua pemain kelahiran luar negara berketurunan Malaysia, Jon Irazabal dan Hector Hevel kini menjadi pemain terbaru bagi kelab gergasi bola sepak tanah air iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT).

Kedua-duanya yang juga merupakan pemain skuad kebangsaaan diumumkan sebagai pemain bagi skuad berjulukan Harimau Selatan secara rasmi menerusi pemakluman di pelbagai platform media sosial milik kelab berkenaan pada Isnin.

Irazabal, 28 tahun, kelahiran Bilbao, yang merupakan pertahanan tengah menyertai JDT selepas tiga musim bersama Sabah FK yang beraksi dalam kancah Liga Azerbaijan.

Penghijrahan ini menandakan julung kalinya Irazabal akan beraksi di benua asia khususnya rantau asia tenggara. Sebelum ini, kariernya banyak berkisar dalam kancah bola sepak Sepanyol seperti SD Amorebieta, SD Leioa, CD Mirandes, SD Eibar dan CD Vitoria.

Sementara itu, seorang lagi pemain yang dibawa masuk oleh JDT ialah Hevel  yang berusia 29 tahun, kelahiran Voorschoten, beraksi di posisi tengah.

Ketibaan Hevel di Iskandar Puteri tidak begitu mengejutkan kerana pemain berketinggian 1.71 meter ini telah mendedahkan sendiri akan menyertai JDT untuk musim berikutnya sekitar awal Jun baru-baru ini.

Dibandingkan dengan Irazabal, perjalanan karier Hevel tampak lebih berwarna-warni dengan penyertaan kelab dari pelbagai negara seperti Portimonense SC (Portugal), GX Pingguo (China), FC Cartagena (Sepanyol), FC Andorra (Andorra), AEK Lanarca (Cyprus) dan ADO Den Haag (Belanda).

@johordtfc Welcome to the Home of Champions, Hector Hevel! 💙❤️ #JDTForAll #NewSigning #TheTMJEffect #WhatCanYouDo #LuaskanKuasamuJohor ♬ original sound – Johor Darul Ta'zim FC

Ketika mengumumkan penyertaan kedua-dua pemain ini, JDT turut mendedahkan bahawa Irazabal dan Hevel akan menyarung jersi bernombor 17 dan 8 masing-masing.

Sebagai rekod, ini merupakan pemain baharu keempat dan kelima masing-masing ditandatangani oleh JDT pada jendela perpindahan pertama sebelum bermulanya Liga Malaysia 2025-2026.

Sebelum memulakan kempen Liga Malaysia serta Liga Juara-Juara ACL Elit (ACLE) dan Kejohanan Kelab ASEAN, JDT memaklumkan pihaknya akan menjalani latihan pramusim di Sepanyol dari 3hb hingga 22hb Julai. 

Satu perlawanan persahabatan menentang juara LaLiga 2, Levante UD turut diatur setakat ini.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd