Sergio Aguero Tinggalkan Malaysia
Hafiz Omar

Pemain tengah kelahiran Argentina yang memiliki kerakyatan Malaysia, Sergio Aguero akan melanjutkan karier bola sepaknya di luar daripada Liga Malaysia buat julung kalinya sejak tahun 2017 selepas diikat oleh sebuah kelab di Thailand.
Kelab tersebut ialah Kanchanaburi Power FC yang berjaya meraih promosi ke saingan Liga Thai 1 bagi musim 2025-2026 selepas menjuarai saingan play-off yang berlangsung pada Mei lalu.
Sebelum ini, khidmatnya cuba dipancing oleh kelab jemputan, DPMM FC yang berpangkalan di Brunei untuk menghadapi Liga Malaysia 2025-2026 namun ianya tidak menjadi kenyataan.
Penyertaan pemain berusia 31 tahun berkenaan didedahkan sendiri oleh peneraju kelab berkenaan, Dr. Prawat Kithammakunnit menerusi satu hantaran di akaun Facebook peribadinya.

Beliau mengucapkan selamat datang kepada Aguero dan memaklumkan bekas pemain Sri Pahang FC itu akan menyertai kelab bimbingan Dusit Chalermsan pada 2hb Julai.
Bagaimanapun, akaun-akaun media sosial rasmi Kanchanaburi Power FC belum memuat naik sebarang pengumuman mengenai penyertaan Aguero yang turut beraksi baik ketika menentang Manchester United baru-baru ini, di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Setakat ini, Kanchanaburi Power FC telah mengesahkan kemasukan bekas pemain Kedah Darul Aman FC dari Singapura, Anumanthan Kumar.
Sebagai rekod, Aguero tiba di bumi Malaysia pada penghujung tahun 2016. Bermula dengan menyertai Melaka United diikuti dengan Selangor United, Pulau Pinang, KL Rovers serta Perak FC secara pinjaman daripada Sri Pahang FC.
Sejak mendapat kerakyatan sekitar September 2022, Aguero telah merekodkan 17 penampilan bersama skuad kebangsaan berjulukan Harimau Malaya.
Featured Image: Football Association of Malaysia