Nafuzi Panggil Haqimi, Tierney, Izwan & Ubai Sertai Kem Latihan Pusat Skuad B-23

June 25, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Skuad kebangsaan bawah 23 tahun (B-23) kendalian Nafuzi Zain dijangka terbang ke Jakarta, Indonesia untuk menghadapi saingan Kejohanan ASEAN B-23 Piala Mandiri 2025 dengan kekuatan empat pemain skuad senior kebangsaan.

Ini susulan jurulatih berusia 46 tahun berkenaan memanggil Haqimi Azim, Fergus Tierney, Izwan Yuslan dan Ubaidullah Shamsul untuk menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya B-23 yang bermula 1hb (Selasa) sehingga 12hb Julai (Sabtu).

Keempat-empat pemain tersebut memiliki 12, 6 dan 1 penampilan bersama skuad senior kebangsaan masing-masing.

Bukan itu sahaja, mereka juga merupakan pemain yang beraksi dalam kancah tertinggi bola sepak tempatan, Liga Super dan negara jiran tetangga, Liga Thai 1.

Selain empat pemain tersebut, Nafuzi menyenaraikan 26 pemain lain lagi untuk menyertai kem latihan kendaliannya iaitu Afiq Ilman, Rahman Daud, Nabil Qayyum, Aiman Danish, Alif Ahmad, Aysar Hadi, Daniel Hakimi, Danish Hakimi, Danish Syamer, Haziq Kutty, Hykal Danish, Muhammad Abu Khalil, G. Pavitran, Rohisham Haiqal dan Ziad El Basheer. 

Senarai itu diikuti oleh Aiman Hakimi, Aiman Yusuf, Arif Ilham, Fakrul Haikal, Faris Danish, Shafizan Aarshad, S. Thahnush, Haziq Aiman, Haziq Mukriz, Syahmi Adib dan Zulhilmi Sharani. 

Kem latihan pusat selama 12 hari itu akan turut diselangi dengan tiga perlawanan persahabatan bertemu tiga buah kelab Liga Super iaitu PDRM FC, Melaka FC dan Negeri Sembilan FC untuk menguji anak-anak buahnya.

Ketiga-tiga perlawanan itu dijadualkan berlangsung pada 5hb, 8hb dan 11hb Julai masing-masing.

Featured Image: Malaysia NT

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd