KDN FC Kini Berjulukan The Real Warrior
Hafiz Omar

Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) yang akan beraksi dalam kancah Liga Super 2025-2026 bukan sahaja tampil dengan pemilikan baharu dan kepimpinan baharu. Tidak ketinggalan, skuad dari pantai timur itu turut tampil dengan nama julukan baharu.
Mereka kini dijuluki sebagai The Real Warrior menggantikan nama julukan terdahulu Kijang Emas atau “The Golden Deer”.
Nama julukan itu digunakan menerusi tanda pagar (hashtag) dalam hantaran mengalu-alukan kedatangan Timbalan Menteri Besar, YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan dan Exco Sukan Negeri, YB Zamakhshari Muhamad selaku Penasihat Kelab.

Pada hari ini, KDN FC turut mengumumkan pembukaan tiga akaun media sosial baharu; Facebook, Tiktok dan Instagram, menggunakan nama “The Real Warrior”.
Tinjauan Sukanz mendapati akaun Facebook yang telah mengumpul sekitar 333,000 pengikut itu dijenamakan semula daripada SportSync Empire (Februari 2024) dan TRWFC (November 2012).
Untuk makluman, KDN FC dijenamakan pada Mac tahun lalu setelah lima musim menggunakan Kelantan United FC (KUFC) dengan julukan Kijang Hijau atau “The Green Deer”.
Sebelum itu, kelab terbabit menggunakan nama MPKB-BRI Ubes FC atau nama panjangnya, Kelab Bola Sepak Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam Urusetia Belia dan Sukan Negeri Kelantan.
Featured Image: Facebook The Real Warrior