Imigresen FC Bincang Guna Stadium Negeri Pulau Pinang Sebagai ‘Home’?
Hafiz Omar

Adakah pendatang baharu Liga Super iaitu Imigresen FC akan menjadikan Stadium Negeri Pulau Pinang yang bertempat di Batu Kawan sebagai sebagai gelanggang rasmi atau “home” mereka dalam saingan bola sepak musim 2025-2026?
Skuad berjulukan Mighty Tigers itu sedang giat mencari venue untuk dijadikan “home” selepas meraih promosi ke saingan Liga Super susulan muncul naib juara Liga A1 Semi-Pro 2024-2025 selain diberikan Lesen Kebangsaan Khas oleh pihak First Instance Body (FIB).
Satu pertemuan dengan Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang merangkap Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Stadium & Kawasan Lapan Pulau Pinang (PSKLPP), YB Daniel Gooi Zi Sen telah dilakukan oleh Imigresen FC pada Isnin bagi tujuan tersebut.
“YB (Daniel) Gooi Zi Sen menyambut baik kehadiran delegasi Imigresen FC di bumi Pulau Pinang bagi perbincangan penggunaan Stadium Batu Kawan sebagai venue home bagi Imigresen FC.”

“YB (Daniel) yang mempunyai semangat kesukanan yang tinggi dan sempat memberi kata-kata nasihat yang positif kepada pasukan kerdil Imigresen FC.” kongsi salah seorang delegasi yang turut menyertai pertemuan itu kepada Sukanz.
Untuk makluman, Stadium Negeri Pulau Pinang itu mampu memuatkan sekitar 40,000 penonton serta dilengkapi dengan pelbagai fasiliti dan kemudahan seperti bilik persalinan, bilik media, bilik mesyuarat, bilik perubatan, surau, ruangan VIP, papan skor elektronik, kawasan parkir sebanyak 4,610 unit termasuk untuk bas dan motosikal.
Sebelum ini stadium itu pernah digunakan oleh Penang FC ketika beraksi dalam kancah bola sepak tanah air sebelum mereka kembali ke Stadium Bandaraya Pulau Pinang, Georgetown.
Menurut pelbagai laporan media tempatan, penganjur, Malaysian Football League (MFL) menggesa Imigresen FC memuktamadkan venue atau gelanggang rasminya dengan segera sebelum Sabtu (5hb Julai).