KDN FC Berjulukan The Real Warriors Perbaharui Rekaan Logo

July 1, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Pasukan berpangkalan di pantai timur semenanjung, Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) tampil memperbaharui logonya selepas berkongsikan nama julukannya yang baharu – The Real Warriors – pada Khamis lalu.

Rekaan baharu logo KDN FC itu dikongsikan sendiri oleh pihak kelab menerusi pelbagai platform media sosialnya, pada Isnin.

Logonya masih mengekalkan sebahagian besar rekaan asal seperti perisai yang dihiasi dengan binatang yang cukup sinonim dengan negeri Kelantan iaitu kijang sedang menanduk bola dalam warna merah, emas dan hijau.

Penambahan paling ketara dikesan pada sekeliling perisai dengan penambahan corak bermotif flora serta riben di bahagian atas dan bawah. Pada riben itu, disertakan dengan perkataan “KELANTAN” dan “THE REAL WARRIORS” masing-masing.

Sementara itu, dibahagian bawah perisai, logo baharu ini menggantikan akronim “KDNFC” dengan perkataan “KELANTAN” menggunakan tulisan jawi.

Seperti ramai ketahui, KDN FC ketika ini mendapat sentuhan nasihat daripada Tan Sri Annuar Musa – dijuluki sebagai Bapa Pembangunan Bola Sepak Kelantan.

Pembaharuan logo itu dilihat mirip dengan pembaharuan dilakukannya terhadap logo Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) kepada Kelantan The Red Warriors yang mengungguli kancah bola sepak tanah air suatu masa dahulu.

Sementara itu, dalam ruangan komen di Facebook Sukanz, Annuar mengharapkan semua pasukan bola sepak dari negeri Cik Siti Wan Kembang – termasuk Kelantan Red Warrior FC dan Kelantan WTS FC – dapat meningkatkan prestasi dengan sasaran awal menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik.

Featured Image: Facebook The Real Warrior

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd