Bekas KP MSN, Abdul Rashid Dilantik Sebagai CEO MASOC 2027

July 1, 2025
Lain-Lain

Hafiz Omar

Teka teki mengenai individu yang akan mengetuai Sekretariat Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) dan Sukan Para ASEAN 2027 terjawab pada hari ini dengan pelantikan Abdul Rashid Yaakub – bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN).

Selaku CEO MASOC, Abdul Rashid akan mengetuai sekretariat yang berperanan untuk menyelaras semua aspak persiapan bagi penganjuran temasya dwitahunan serantau itu

Pelantikan beliau dikongsikan sendiri oleh pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi satu kenyataan media yang diedarkan kepada pihak media, sebentar tadi.

“Abdul Rashid, 61, memiliki pengalaman luas dalam dunia sukan negara dengan pembabitan secara langsung selama lebih 37 tahun dan memegang pelbagai jawatan dalam MSN sebelum bersara sebagai Ketua Pengarah pada awal April 2025.”

“Abdul Rashid juga memainkan peranan penting membantu MASOC dalam bidang pengurusan ketika kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA pada 2017.” tulis kenyataan itu.

Untuk makluman, Malaysia akan menjadi hos Sukan SEA Ke-34 dan Sukan Para ASEAN Ke-15 yang dijadualkan berlangsung dalam masa sekitar dua tahun lagi.

Berbanding edisi-edisi lalu yang hanya tertumpu di ibu kota iaitu Kuala Lumpur, edisi kali ini tampak menarik dengan pembabitan tiga negeri lain – Sarawak, Pulau Pinang dan Johor – yang telah bersetuju untuk menganjurkan beberapa jenis sukan.

Sebagai rekod, penganjuran ini bakal menjadi yang ketujuh buat Malaysia selepas menjadi tuan rumah bagi sukan berprestij ini pada edisi 1956, 1971, 1977, 1989, 2001 dan 2017.

Sebagai tambahan, Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Ke-34 dan Sukan Para ASEAN Ke-15 telah pun ditubuhkan menerusi keputusan Jemaah Menteri pada 26hb Mac lalu dimana ianya turut memutuskan Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh dilantik sebagai Pengerusi.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd