E. Elavarasan Sasar Bawa KDN FC Dalam Kelompok 8 Terbaik Liga Super

July 2, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Jurulatih berpengalaman, E. Elavarasan secara rasminya dipilih untuk membimbing Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) bagi menghadapi saingan Liga Super 2025-2026 yang akan membuka tirainya sekitar awal Ogos nanti.

Kedatangan jurulatih berusia 63 tahun yang pernah menjadi penolong ketua jurulatih kepada Kim Pan-gon dalam skuad kebangsaan diumumkan oleh KDN FC menerusi hantaran di pelbagai platform media sosialnya, pada Selasa.

Beliau tidak menunggu lama untuk memulakan tugas dan telah pun turun memantau sesi latihan pertama skuad berjulukan The Real Warriors bertempat di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, pada petang semalam.

Memetik kenyataan yang dikongsikan oleh pihak kelab, Elavarasan yang pernah mengemudi beberapa kelab Liga Super sebelum meletakkan sasaran untuk menamatkan kempen Liga Super musim ini dalam kelompok lapan teratas.

“Sasaran saya sekurang-kurangnya kita berada di kedudukan kelapan musim ini sebagai langkah memulihkan nama bola sepak Kelantan.” katanya.

“Saya percaya dengan gabungan pemain berpengalaman dan pemain muda, serta sokongan padu penyokong, Kelantan The Real Warriors mampu bangkit semula menjadi pasukan yang digeruni.” tambahnya yang turut pernah menyandang jawatan Ketua Jurulatih Skuad Kebangsaan Bawah 23 Tahun (B-23).

Pihak kelab menjelaskan, kriteria utama pemilihan Elavarasan sebagai ketua jurulatih baharu bagi skuad The Real Warriors adalah pengalaman khususnya berpengetahuan mendalam tentang senario bola sepak Malaysia.

Selain itu, Elavarasan juga dirasakan pihak kelab cukup arif dengan corak permainan serta kemampuan pemain-pemain Liga Super pada saat ini.

“Kehadiran beliau dijangka menyuntik semangat baharu dan meningkatkan daya saing skuad KDN FC dalam misi menempah kejayaan lebih gemilang musim hadapan.” tulis kenyataan oleh pihak kelab.

Sebagai rekod, selain bersama skuad kebangsaan, Elavarasan pernah membimbing Sarawak United, PDRM, Melaka United, PKNS FC, Terengganu, Felda United, Melaka dan Public Bank FC.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd