Ulasan Sukanz – Skechers SKX AERO Burst, Kasut Larian Untuk Jarak Jauh Yang Mengubah Cara Saya Berlari
Lina Adibah
Sebagai seseorang yang mula memberi perhatian lebih kepada kesihatan fizikal sejak kebelakangan ini, saya mula meluangkan masa untuk berjalan dan berlari santai beberapa kali seminggu.
Sebelum ini, saya tak pernah menggunakan kasut larian yang sebenar – setiap kali keluar berlari, saya hanya pakai kasut sukan biasa yang saya guna untuk pelbagai aktiviti lain. Pada awalnya, saya merasakan, ia bukanlah satu keperluan. Namun, apabila jarak larian makin bertambah dan saya mula berlari lebih kerap, saya mula perasan yang kasut tersebut sebenarnya tidak cukup memberi sokongan yang diperlukan oleh kaki saya.
Ini kerana setiap kali selepas berlari, saya akan berasa sakit terutama pada bahagian tapak kaki. Lama-kelamaan, ia bukan saja beri kesan pada keselesaan, tapi juga pada corak dan juga rentak larian saya.

Oleh itu, apabila Skechers memperkenalkan SKX AERO Burst yang merupakan kasut latihan jarak jauh terbaru mereka, saya melihatnya sebagai peluang untuk mencuba sesuatu yang benar-benar dibina khas untuk keperluan seperti saya.
Jadi, jika anda ingin tahu apakah pandangan saya tentang Skechers SKX Aero Burst ini – adakah ia kasut yang sesuai untuk larian marathon jarak jauh, ataupun untuk sesi latihan di trek dan juga berjalan kaki ke tempat kerja?
Dan daripada pengalaman saya setakat ini, saya boleh katakan bahawa SKX AERO Burst memberikan apa yang saya selama ini cari dalam sepasang kasut larian aitu keselesaan yang konsisten dari mula hingga akhir.
Pengalaman Berlari Menggunakan SKX Aero Burst
Saya masih ingat perasaan pertama saya semasa memakai SKX AERO Burst untuk sesi larian pagi. Langkah pertama sahaja sudah beri perbezaan – kusyen pada kasut terasa sangat empuk, tetapi dalam masa yang sama tidak terasa kosong. Dalam setiap langkah, ia terasa anjal seolah-olah mempunyai pelampung di bawah kaki.

Jika anda lihat dari segi reka bentuk, kasut ini kelihatan agak chunky di bahagian tapak tengah , tapi tidak terasa berat langsung. Malah, sebaik saja saya mula berlari, kasut ini memberikan momentum tambahan, seolah-olah menggalakkan saya terus bergerak dan berlari.
Bukan itu sahaja, tapak tengah kasut juga terasa sangat responsif, dan inilah antara sebab saya mula selesa berlari lebih jauh daripada biasa. Ini kerana dengan lantunan yang lebih ketara daripada biasa, kasut ini menjadikan setiap langkah lebih ringan dan memudahkan hayunan kaki ke tanah dalam setiap pergerakan.


Reka Bentuk Mesh Yang Sesuai Untuk Cuaca Panas
Salah satu ciri menarik pada SKX AERO Burst ialah penggunaan bahan fabrik mesh pada bahagian atas kasut. Reka bentuk ini bukan sahaja ringan, tetapi juga membolehkan pengudaraan yang baik agar kaki kekal sejuk dan selesa sepanjang aktiviti.
Untuk saya sendiri, sememangnya ia sangat membantu terutamanya ketika berlari dalam cuaca panas pada waktu siang, di mana aliran udara yang lancar dapat mengurangkan rasa tidak selesa akibat peluh berlebihan. Pendek kata, reka bentuk mesh pada SKX Aero Burst ini menjadikan kasut lebih sesuai untuk iklim tropika seperti di Malaysia.

Pada bahagian dalam pula, kasut ini dilengkapi dengan sistem tapak dalam Arch Fit yang direka khas untuk memberikan sokongan pada lengkungan kaki. Teknologi ini bukan sahaja membantu mengurangkan tekanan ketika berjalan atau berlari, tetapi juga membantu mengagihkan berat badan dengan lebih seimbang – sekaligus mengurangkan risiko keletihan otot, terutama jika digunakan dalam tempoh yang lama.
Tapak dalam pada SKX AERO Burst juga direka dengan gaya yang mana ia boleh ditanggalkan, menjadikannya fleksibel untuk disesuaikan dengan keperluan pengguna yang berbeza.
Ketahanan Dan Cengkaman Tapak Kasut Sewaktu Larian
Jika anda tanya, apa perkara lain yang saya lihat pada kasut selain dari rekaan dan juga keselesaan kasut, semestinya binaan tapak luar kasut.
Sama ada berlari di taman, bersenam atas lantai gimnasium, atau berjalan di kawasan basah, setiap kasut perlulah mempunyai tapak luar yang memberi cengkaman yang baik. SKX AERO Burst menggunakan tapak luar yang diperbuat daripada getah Good Year yang direka untuk pelbagai permukaan, dan saya dapati ia memberi cengkaman yang baik walaupun ketika berjalan selepas hujan di laluan yang agak licin.

Ini berlaku sewaktu saya keluar untuk berjumpa dengan klien di kedai makan berdekatan, saya menggunakan kasut ini untuk berjalan kira-kira 900 meter dari pejabat. Laluan pada ketika itu basah dan juga agak licin. Namun, dengan adanya Goodyear Performance Outsole, ia memberikan saya ketenangan sepanjang tempoh lebih-lebih lagi di kawasan simen yang sedikit curam.

Rekaan Yang Tidak Sesuai Untuk Penggunaan Di Atas Treadmill Di Gimnasium
Walaupun Skechers SKX AERO Burst tampil dengan pelbagai teknologi canggih yang menjadikannya ideal untuk larian jarak jauh di permukaan luar, saya dapati ia kurang sesuai untuk larian setempat di atas treadmill. Ini kerana struktur Arch Fit yang tinggi dan sokongan lengkungan kaki yang menonjol membuatkan kasut terasa agak janggal ketika digunakan di atas permukaan treadmill yang rata dan sempit.
Untuk beberapa keadaan, terutamanya apabila cerun pada treadmill dinaikkan sedikit, ia membuatkan pendaratan pada tapak treadmill terasa goyang. Dan ini sekaligus menjadikan langkah kurang stabil dan kurang selesa. Bagi saya, pengalaman larian atas treadmill menjadi sedikit terganggu – berbeza dengan prestasinya yang jauh lebih meyakinkan apabila digunakan untuk larian luar.

Untuk pengetahuan anda, SKX Aero Burst ini menampilkan ketinggian tapak mencecah 42mm di bahagian tumit. Disebabkan itu juga, ia menyukarkan pergerakan kaki sewaktu berlari setempat – terutamanya sekiranya saya menetapkan tetapan kadar kelajuan yang lebih pantas.
Jadi, untuk larian di atas treadmill, anda mungkin memerlukan kasut yang lebih rendah profilnya dan menawarkan kestabilan mendatar yang lebih kukuh.

Uji Lari Fun Run – Bagaimana Ketahanan Untuk SKX Aero Burst?
Beberapa hari lalu, saya melakukan latihan untuk sesi larian sejauh 4.88KM di atas jalan raya. Ia satu cabaran kecil untuk diri sendiri. Ini kali pertama saya mencuba SKX AERO Burst untuk jarak yang agak panjang dalam satu sesi.
Jadi, apakah pandangan saya? Secara keseluruhannya, saya sangat teruja dengan fleksibiliti kasut ini kerana selepas larian tamat, tapak kaki saya tidak merasai kebas yang ketara selain tidak membuatkan otot betis terasa kejang.

Biasanya, apabila saya menggunakan kasut sukan biasa, tekanan yang kuat akan terasa pada bahagian tumit dan jari kaki – terutamanya selepas berlari lebih daripada 2KM. Ia bukan sahaja menyebabkan rasa tidak selesa, tetapi juga memberi beban tambahan kepada kaki.
Namun, pengalaman berbeza saya rasai dengan SKX AERO Burst. Kusyen pada bahagian tapak tengah kasut ini sangat membantu menyerap hentakan dengan lebih efektif, menjadikan setiap langkah terasa lebih ringan dan selesa. Ia memberi perlindungan yang lebih sekata kepada seluruh tapak kaki, sekaligus mengurangkan rasa sakit selepas larian.

Adakah Ia Berbaloi Dengan Harga RM759?
Bagi menjawab persoalan ini, adakah Skechers SKX AERO Burst berbaloi untuk dimiliki, terutamanya dengan harga melebihi RM700?
Secara peribadi, selepas menggunakannya selama hampir dua minggu, saya boleh katakan ya, ia berbaloi sekiranya anda mencari kasut berkualiti untuk latihan serius atau aktiviti fizikal harian. Anda bukan sahaja dapat keselesaan dan ketahanan, tetapi juga gaya dan ciri pengudaraan yang sangat sesuai untuk cuaca Malaysia.
Jika dibandingkan dengan jenama lain dalam kelas yang sama, harga ini sebenarnya kompetitif. Malah Skechers dikenali dengan teknologi kusyen dalaman mereka yang terbukti berkesan, jadi anda bukan hanya membayar untuk jenama, tetapi untuk prestasi dan juga keselesaan selepas aktiviti berat.

Skechers SKX AERO Burst bukan sahaja membuktikan bahawa kasut latihan boleh kelihatan bergaya, tetapi juga membawakan kombinasi teknologi, keselesaan, dan ketahanan dalam satu pakej yang meyakinkan.
Bagi saya, ia bukan sekadar sepasang kasut untuk berlari tetapi satu pelaburan dalam gaya hidup aktif. Ia sesuai untuk mereka yang banyak bergerak, kerap bersenam atau sekadar mahukan kasut yang tahan lasak untuk kegunaan harian. Untuk mendapatkannya, anda boleh berkunjung ke butik fizikal Skechers berdekatan anda ataupun melakukan pesanan secara atas-talian di laman web rasmi skechers.com.my