Delegasi Imigresen FC Jumpa Pengurusan Stadium Tuanku Syed Putra

July 3, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Stadium Tuanku Syed Putra yang mampu memuatkan sekitar 20,000 penonton dijangka kembali dalam peta kancah bola sepak tertinggi tanah air, Liga Super Malaysia.

Ini selepas Imigresen FC, pendatang baharu Liga Super, berhasrat untuk menamakan stadium yang dibuka pada tahun 1995 itu sebagai gelanggang rasminya untuk beraksi sepanjang musim 2025-2026.

Usaha Imigresen FC untuk menjadikan stadium yang terletak di Kangar itu sebagai “home” skuad Mighty Tiger dijelmakan dengan satu perjumpaan secara rasmi pada Selasa bertemu pihak pengurusan stadium, Majlis Sukan Negeri Perlis (MSNP).

“Kita selesai mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan,” kata salah seorang pegawai kelab yang turut serta dalam delegasi bertemu pihak MSNP kepada Sukanz.

Delegasi Imigresen FC itu turut disertai Pengarah Teknikal kelab merangkap Ahli Jawatankuasa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Dato’ Zainal Abidin Hassan.

Difahamkan, setelah melakukan perjumpaan itu, penggunaan Stadium Tuanku Syed Putra sebagai “home” buat Imigresen FC hampir pasti. Manakala Stadium Negeri Pulau Pinang di Batu Kawan akan menjadi “pelan B” sekiranya Stadium Tuanku Syed Putra tidak mendapat lampu hijau daripada penganjur, Malaysian Football League (MFL).

Sebagai rekod, kali terakhir Stadium Tuanku Syed Putra menjadi venue dalam saingan Liga Super sejak 2012 selepas Perlis FA menamatkan saingan Liga Super 2011 di tangga tercorot sekaligus terjerumus ke kancah Liga Premier.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd