KDA FC Sasar ‘Bertapa’ Selama 3 Musim Dalam Liga A1 Semi-Pro

July 3, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Pasukan berpangkalan di utara semenanjung tanah air, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mahu kekal beraksi dalam kancah Liga A1 Semi-Pro dalam tempoh masa dua hingga tiga musim sebelum kembali ke kancah tertinggi bola sepak tanah air, Liga Super.

Ini termasuk menolak untuk beraksi dalam saingan itu biarpun berjaya menamatkan saingan divisyen kedua bola sepak tanah air itu selaku juara atau naib juara.

Ini berikutan skuad berjulukan Sang Kenari itu sedang memberikan fokus terhadap penstrukturan semula dan pemulihan kelab termasuk pembayaran hutang-hutang kepada pemain dan pegawai lamanya.

“Macam saya katakan tadi, kita dalam proses pemulihan, penstrukturan semula dan pembangunan (pemain),” 

“Kita akan kekal di Liga A1 lebih kurang dalam tempoh dua ke tiga tahun bergantung kepada situasi kewangan supaya kita nak elak masalah yang berlaku sebelum-sebelum inilah, 

“Apabila kita betul-betul sudah bersedia (kita naik ke Liga Super), kita juga tidak lupa dan komited untuk membayar tunggakan-tunggakan gaji pemain dan pegawai lama, kita tidak lupa, kita sedang merangka untuk bergerak ke hadapan dan juga selesaikan apa yang tertunggak tu,” kongsi Pengurus Besar KDA FC, Mohd Faidhi Mohd Rohdzi ketika ditemui di Concorde Hotel Shah Alam.

Bercakap mengenai persiapan untuk menghadapi saingan Liga A1 Semi-Pro 2025-2026, KDA FC telah pun menandatangani pemain-pemain yang rata-ratanya daripada kalangan bekas pemain Piala MFL, Piala Presiden dan Piala Belia.

Ini selari dengan pendekatan KDA FC pada ketika ini yang ingin menumpukan terhadap pembangunan pemain-pemain muda.

Pada Selasa lalu, pihaknya telah mengumumkan kedatangan Azzmi Aziz selaku Ketua Jurulatih baharu disamping Kamal Daut, Ahmad Nizan dan Abd Rashid sebagai Penolong Ketua Jurulatih, Jurulatih Kecergasan dan Jurulatih Penjaga Gol masing-masing.   

“Kita ada buat saringan terhadap beberapa jurulatih dan Coach Azzmi ini dipilih berdasarkan kriteria-kriteria yang lebih kepada keadaan kelab KDA FC sekarang inilah, contohnya (pemilihan) pemain-pemain muda dan bergaji rendah, kemampuan untuk membangunkan pemain, ini salah satu kriteria mengapa kita memilih Coach Azzmi,” katanya.

Faidhi mendedahkan KDA FC menyediakan bajet sekitar RM2.5 juta hingga RM3 juta untuk mengharungi Liga A1 Semi-Pro 2025-2026 yang akan bermula awal Ogos kelak.

Featured Image: Kedah Darul Aman FC

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd