Syamer, Safawi Sertai KL City FC Bimbingan Risto Vidakovic

July 3, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Skuad berpangkalan di ibu kota, Kuala Lumpur City FC (KL City FC) mendapat khidmat dua pemain yang pernah beraksi bersama skuad kebangsaan, Syamer Kutty Abba dan Safawi Rasid untuk mengharungi kempen Liga Malaysia 2025-2026.

Penyertaan Syamer, 27 tahun, pemain tengah, dikongsikan pelbagai platform media sosial skuad berjulukan The City Boys itu pada hari ini.

Pada musim lalu, Syamer menjadi tunjang buat Penang FC dengan tampil sebanyak 26 kali. Syamer menyertai kelab berpangkalan di utara tanah air itu secara pinjaman daripada Johor Darul Ta’zim (JDT).

Sementara itu, Safawi yang berusia 28 tahun diumumkan menyertai KL City FC pada Rabu. Penyertaan itu hadir selepas semusim bersama Terengganu FC (TFC) juga secara pinjaman daripada JDT.

Safawi yang turut diberikan peranan sebagai kapten buat TFC dengan tampil sebanyak 36 kali dan berjaya menyumbangkan 18 gol serta empat bantuan gol.

Kedua-dua pemain ini akan beraksi di bawah bimbingan Risto Vidakovic, ketua jurulatih baharu KL City FC, yang pernah mengendalikan Melaka United FC pada musim 2022.

Featured Image: Kuala Lumpur City

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd