Penyerang Liverpool, Diogo Jota Meninggal Dunia Pada Usia 28 Tahun
Hafiz Omar

Penyerang yang baru sahaja menjuarai Liga Perdana (PL) 2024-2025 bersama Liverpool, Diogo Jota telah meninggal dunia – pada usia 28 tahun.
Berita mengejutkan itu telah dilaporkan pelbagai agensi berita luar negara khususnya di eropah selain turut dikongsikan oleh wartawan bola sepak terkenal, Fabrizio Romano pada hari ini.
Memetik pelbagai laporan, Jota yang juga merupakan pemain skuad kebangsaan Portugal meninggal dunia selepas terlibat dengan kemalangan jalan raya bersama-sama adiknya, di Sepanyol.
Turut sama menemui ajal adalah adiknya, Andre Silva, 26 tahun, juga merupakan seorang pemain bola sepak profesional, yang menaiki kenderaan bersama-sama dengan Jota.
Bekas kelab buat kedua-dua pemain itu, FC Porto turut merakamkan ucapan takziah buat keluarga dan rakan-rakan Jota dan Silva atas berita yang mengejutkan itu.
Lebih mendukacitakan, Jota menemui ajalnya dua minggu selepas melangsungkan perkahwinan dengan gadis pilihannya, Rute Cardoso.
Untuk makluman, Jota menyertai Liverpool pada tahun 2020 selepas beraksi bersama Wolverhampton Wanderers selama dua musim dan setengah. Selain dua kelab ini, Jota turut pernah menyarung jersi Atletico Madrid dan Pacos de Ferreira.
Featured Image: Liverpool