FC Kepong B-8 Bimbingan Shazwan Wong Juarai Piala Iber Di Portugal
Hafiz Omar

Pemain-pemain cilik tempatan yang membarisi FC Kepong bawah 8 tahun (B-8) melakar nama di pentas antarabangsa apabila berjaya menjuarai saingan Piala Iber 2025 yang berlangsung di Estoril, Portugal.
Pasukan di bawah bimbingan Shazwan Wong itu muncul juara selepas berhasil menumpaskan Aravaca SS dari Sepanyol dalam perlawanan akhir dengan kemenangan 2-0 hasil jaringan berganda oleh Muhammad Aqiel Zhariff Mohd Norsham pada babak pertama dan kedua masing-masing.
Lebih menarik, kemenangan itu turut diiringi dengan statistik cemerlang iaitu menguasai 52.8% keseluruhan permainan, 13 percubaan dengan 8 daripadanya tepat ke sasaran selain meraih tiga sepakan percuma.
Sebagai perbandingan, Aravaca SS hanya menguasai 47.2% keseluruhan permainan dan melakukan 6 percubaan dimana hanya 3 daripadanya tepat ke sasaran. Sementara itu, mereka hanya meraih satu sepakan percuma.
FC Kepong berhasil meraih tiket ke perlawanan akhir selepas membantai satu lagi pasukan dari Sepanyol iaitu Ultimate Madrid dengan keputusan 5-3 pada peringkat separuh akhir.
Sebelum itu, mereka berjaya menamatkan kempen peringkat kumpulan yang melibatkan tujuh buah pasukan di tangga ketiga setelah mengumpul 12 mata hasil daripada mencatatkan empat kemenangan dan sekadar mengalami dua kekalahan.
Kumpulan itu turut terdiri daripada tiga buah pasukan dari Portugal iaitu Associacao Torre, GD Malveira Sierra dan Central 32 serta sebuah pasukan dari Amerika Syarikat, FC Sports Swag.
Ini merupakan kejuaraan ketiga diraih FC Kepong B-8 setelah menjulang kejuaraan di kejohanan KL Cup 2025 dan Sarawak International Youth Football Cup 2025 pada hujung April dan awal Jun lalu.