Skuad Badrul Afzan Ambil Bekas Import Perak FC – Kontrak Semusim
July 7, 2025 Hafizuddin Omar

Pemain yang pernah beraksi dalam kancah Liga Malaysia dari 2019 hingga 2021, Raianderson da Costa Morais menjadi pemain import keempat yang ditandatangani oleh Terengganu FC pada jendela perpindahan kali ini.

Lebih dikenali sebagai Careca, pemain tengah menyerang yang berusia 29 tahun ini dahulunya menyarung jersi Perak FC ketika beraksi dalam kancah bola sepak tempatan.

Pemain berasal dari Brazil ini menjadi tambahan baharu bagi skuad bimbingan Badrul Afzan selepas Terengganu FC mengumumkan kedatangannya menerusi pelbagai platform media sosial, pada Ahad.

“…Careca, sah menjadi pemain import baharu Terengganu FC selepas menandatangani kontrak selama semusim.” tulis kenyataan oleh TFC.

“Beliau terkenal dengan kemampuan mencipta peluang, kelincahan mengawal bola, serta ketajaman penyudah yang mampu menghadirkan ancaman kepada benteng lawan.” tambah kenyataan oleh pihak kelab.

Turut dimaklumkan, Careca akan menyarung jersi Hitam Putih bernombor 26 sepanjang beraksi dalam kancah Liga Malaysia 2025-2026. 

Sebagai rekod, Careca tiba di bumi Terengganu Darul Iman selepas menabur bakti bersama Gangneung Citizen FC yang berentap dalam divisyen ketiga bola sepak Republik Korea sejak 2023.

Careca ternyata menjadi taruhan utama kelab berkenaan apabila merekodkan 54 penampilan secara keseluruhan sambil meledak sebelas gol dan mencipta empat bantuan gol.

Selain berkelana di Malaysia dan Korea, karier Careca banyak tertumpu di negara kelahirannya bersama Brasilia FC, Atletico Acreano, Galvez EC dan Cruzeiro.

Kehadiran Careca menyaksikan Terengganu FC telah melengkapkan kemasukan empat daripada lima pemain import, Junior Sam, Gabriel Silva dan Yann Mabella, sepertimana rancangan Badrul Afzan.

Featured Image: Terengganu Football Club

Komen