
Gelanggang berkapasiti 85,500 tempat duduk iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) telah ditempah sebagai venue bagi sebuah konsert melibatkan kumpulan rock dari Amerika Syarikat iaitu My Chemical Romance.
Kumpulan yang diketuai oleh Gerard Way selaku vokalis utama itu memaklumkan kehadiran mereka ke Kuala Lumpur, Malaysia selaku salah satu destinasi dalam jelajah di rantau asia tenggara menerusi akaun media sosial rasminya.
Mereka menjadualkan konsert di SNBJ itu pada 30hb April 2026 sekaligus menandakan kehadiran semula mereka ke Malaysia buat julung kaliny selepas 18 tahun.

Tiket untuk menyaksikan konsert itu juga telah diumumkan sebentar tadi. Berdasarkan infografik yang dikongsikan, terdapat lapan kategori tiket ditawarkan dengan dua daripadanya merangkumi kategori berdiri, kawasan padang yang menggunakan rumput zeon zoysia dan trek, diletakkan tanda harga RM799 dan RM599 masing-masing.
Untuk makluman, skuad bola sepak kebangsaan bimbingan Peter Cklamovski akan beraksi buat kali terakhir di tempat sendiri dalam kelayakan Piala Asia 2027 pada 14hb Oktober kelak bertemu Laos – aksi keempat peringkat Kumpulan F.
Baki dua perlawanan lagi bertemu Nepal dan Vietnam pada 18hb November 2025 dan 31hb Mac 2026 dijadualkan beraksi di tempat lawan.
Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh pernah mendedahkan penganjuran acara bukan sukan, termasuk konsert-konsert, di SNBJ pada tahun 2024 (Januari – Oktober) telah memberikan hasil sebanyak RM1.89 juta kepada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) – agensi yang bertanggungjawab mengelola SNBJ.