Liga FootGolf Malaysia MicroLeap Bermula Oktober 2025
Hafiz Omar

Liga FootGolf Malaysia MicroLeap musim ini akan membuka tirainya pada Oktober 2025 dan dijangka berakhir sekitar Mac 2026.
Sepertimana edisi lalu, saingan kali ini turut melibatkan dua divisyen iaitu Premier League dan Championship League yang melibatkan pemain senior/veteran dan “beginner” masing-masing.
Setiap pasukan akan dibarisi 5 hingga 10 orang pemain dan dijangka sebanyak 20 buah pasukan akan menyertainya.
Setiausaha Agung Persatuan FootGolf Malaysia (FGAM), Mohd Hafiz Zainudin mengajak individu-individu yang berminat untuk sukan ini untuk beraksi dalam liga ini sekaligus dapat meramaikan lagi bakat-bakat tempatan untuk diketengahkan di kejohanan antarabangsa.
“Kita menjemput semua orang terutamanya ‘newcomers’ terhadap sukan ini untuk menyertai liga ini, setiap bulan (kami) akan jalankan 2 ke 3 perlawanan,”
“Insya-Allah (penyertaan) ini akan meningkat skil mereka dari (tahap) sosial kepada (tahap) kompetitif, menjadikan kami dapat mencari (pemain-pemain) bakat Malaysia (untuk dibawa ke peringkat antarabangsa),” katanya ketika ditemui dalam majlis menandatangani perjanjian penajaan melibatkan FGAM dan MicroLeap, baru-baru ini.
Berdasarkan perancangan, penganjur menjadualkan sebanyak 2 ke 3 perlawanan setiap bulan. Di penghujung musim kelak, tiga pasukan tercorot Premier League akan disingkirkan sementara tiga pasukan terbaik Championsip akan meraih promosi.
Difahamkan, hadiah terkumpul pada kali ini juga meningkat berbanding edisi lalu yang sekadar menawarkan RM8,500 secara keseluruhan.