KBS Peruntukkan RM1 Juta Untuk Perkasa Sukan Badan Beruniform

July 8, 2025
Lain-Lain

Hafiz Omar

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi mengenalpasti dan memupuk bakat atlet-atlet dalam kalangan anggota badan beruniform negara sekaligus memperkasakan pembangunan sukan negara.

Peruntukan itu disalurkan oleh KBS melalui Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN) dan ianya diumumkan selepas Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Program Badan Beruniform menerusi satu siaran media yang dikongsikan pada Isnin. 

Mesyuarat itu dihadiri pegawai-pegawai tertinggi dan pegawai-pegawai kanan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Penjara Malaysia (JPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Memetik siaran media itu, Hannah berkata badan beruniform telah memainkan peranan sejak sekian lama sebagai pembekal atlet yang berjaya memenangi pingat untuk kontinjen Malaysia dalam pelbagai temasya sukan antarabangsa.

Sebagai contoh, memanah dan menembak antara sukan yang ditunjangi badan beruniform yang menyaksikan pembabitan ramai atlet bertaraf dunia daripada ATM dan PDRM.

Tidak terhad kepada dua sukan itu sahaja, atlet-atlet daripada ATM, PDRM, JBPM dan JPM juga dilihat aktif dalam beberapa sukan lain di peringkat kebangsaan seperti boling padang, sepak takraw, berbasikal, hoki dan sukan tinju.

Antara atlet-atlet daripada badan beruniform yang berjaya menempa pencapaian cemerlang dalam di peringkat antarabangsa ialah Saritha Cham Nong (ATM), pingat emas acara berpasukan compound wanita di Kejohanan Memanah Piala Asia; Erma Firyana Saroji (PDRM), pingat emas Sukan Komanwel 2018 dan gangsa Kejohanan Dunia Lawn Bowls Indoor 2025; Mohd Shahril Aiman Halim (PDRM)-Mohd Afifudin Mohd Razali (ATM), pingat perak acara regu berpasukan di Kejohanan Sepak Takraw Piala Dunia 2024.

Pada masa yang sama, KBS menyokong tumpuan JPM kepada sukan petanque dan JBPM dalam sukan ping pong.

Mesyuarat turut membincangkan beberapa cadangan baharu untuk diperhalusi seperti pertimbangan sukan baharu iaitu akuatik – ‘open water’, ping pong dan sukan mendaki membabitkan badan beruniform; kajian penyertaan semula kontinjen badan beruniform dalam SUKMA dan pelantikan atlet paralimpik ke dalam pentadbiran badan beruniform selaras dengan dasar satu peratus penjawatan OKU dalam perkhidmatan awam.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd