Liga 1 Indonesia Dijenamakan Sebagai Liga Super Indonesia – Benar 11 Pemain Import

July 8, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Kancah bola sepak tertinggi di negara jiran tetangga, Indonesia, kini dijuluki sebagai Liga Super bermula musim 2025-2026 yang akan bermula 8hb Ogos. Perlawanan pertama Liga Super Indonesia itu akan menemukan Persebaya Surabaya dan PSIM Yogyakarta di Stadion Gelora Bung Tomo.

Nama baharu tersebut digunakan selepas pengelola liganya, PT LIB, selepas melakukan penjenamaan semula daripada nama lamanya, Liga 1 kepada Liga Super.

“Mulai musim ini kami sudah melakukan rebranding LIB (Liga Indonesia Baru). Entitas tetap LIB namun brandnya ialah I-League (bukan lagi LIB).”

“BRI Super League untuk Liga 1 dan Pegadaian Championship untuk Liga 2,” kongsi Direktur Utama PT Liga Indonesia Baru (LIB) Ferry Paulus sepertimana dipetik daripada laman sesawang rasmi.

Penjenamaan semula ini dilakukan selepas mereka mengadakan mesyuarat tahunan dan luar biasa melibatkan rakan kongsinya terdiri daripada 18 buah kelab yang bertanding selain turut dihadiri oleh badan induk, Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI).

Ini menjadikan Indonesia kembali menggunakan jenama Liga Super selepas memakai nama berkenaan dari tahun 2008 hingga 2015 bagi kancah bola sepak tertinggi di republik terbabit.

Sementara itu, divisyen kedua bola sepaknya, Liga 2 ditukar kepada Liga Kejuaraan atau Liga Championship.

Dalam mesyuarat itu juga, LIB memutuskan untuk membenarkan kelab-kelab Liga Super Indonesia mendaftarkan seramai 11 pemain import – meningkat sebanyak 3 orang pemain berbanding musim lalu.

Bukan itu sahaja, setiap kelab bebas mendapatkan 11 pemain itu dari mana-mana negara dan tidak terikat untuk menuruti sebarang kuota seperti ASEAN, Asia dan sebagainya.

Bagaimanapun, hanya lapan orang pemain boleh didaftarkan dalam senarai pada hari perlawanan dan berada di atas padang semasa perlawanan berlangsung.

Featured Image: Liga Indonesia Baru

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd