Nasken Coffee Hiasi Jersi Hadapan Kelantan Red Warrior FC
Hafiz Omar

Kedai kopi bertemakan hipster, Nasken Coffee akan berlegar-legar dalam kancah bola sepak iaitu Liga A1 Semi-Pro anjuran Amateur Football League (AFL).
Ini susulan Nasken Coffee diperkenalkan sebagai penaja utama bagi Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) sekaligus menghiasi bahagian hadapan jersi skuad bimbingan Irfan Bakti itu sepanjang musim 2025-2026.
“Nasken Coffee sebuah jenama tempatan yang lahir daripada akar bumi Kelate (Kelantan), kini secara rasmi menjadi penaja utama KRW FC.” tulis kenyataan rasmi oleh pihak kelab.
Perkembangan itu dikongsikan sendiri oleh KRW FC di pelbagai platform media sosialnya, pada Isnin.
Perkongsian itu turut dikepilkan dengan sekeping foto yang memaparkan empat orang individu, salah seorangnya, Presiden KRW FC, Nik Hafiz Naim Nik Hassan, sambil memegang jersi pramusim keluaran Warrix yang dihiasi logo Nasken Coffee.
Jersi perlawanan “home” dan “away” bagi KRW FC akan diketahui pada 19hb Julai kelak. Pada tarikh itu, KRW FC akan mempersembahkan juga barisan lengkap pemain, kejurulatihan, pegawai dan penaja untuk menghadapi musim ini.
Sebelum menjelmanya tarikh itu, KRW FC telah menjadualkan sesi pramusimnya dengan turun menentang Melaka FC, Hornet FC (TUDM), Negeri Sembilan FC dan Terengganu FC.
Sehari selepas melancarkan jersi dan pasukannya secara rasmi, KRW FC akan turun menentang Penang FC bertempat di Stadium Sultan Muhammad IV – gelanggang rasminya.
Featured Image: Kelantan Red Warrior FC