Prestasi Pengadil Liga Malaysia Musim 24-25 Cemerlang – FAM

July 9, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Dato’ S. Sivasundaram memaklumkan bahawa Unit Pengadil FAM telah membuat analisa menyeluruh berkaitan dengan prestasi pengadil Liga Malaysia bagi musim 2024-2025.

Sivasundaram mengulas berdasarkan laporan Penilai Pengadil (RA), aduan daripada pasukan bertanding dan analisa video perlawanan yang telah digunakan sebagai penanda aras penentuan prestasi pengadil yang mengadili perlawanan Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA.

“Berdasarkan laporan Unit Pengadil FAM, prestasi pengadil-pengadil Liga Malaysia musim 2024-2025 berada pada tahap cemerlang berbanding dengan musim 2023-2024.

“Pada musim lalu, sebanyak 208 perlawanan menggunakan teknologi ‘Video Assistant Referee’ (VAR). Daripada jumlah itu, FAM hanya menerima 5 aduan rasmi daripada pasukan bertanding iaitu 4 aduan perlawanan Liga Super dan 1 aduan aksi Piala Malaysia,” katanya.

Menurutnya lagi, setiap insiden pada perlawanan tersebut telah disemak dengan tepat oleh Pengadil VAR dan tahap pematuhan ‘Protocol VAR’ adalah sangat cemerlang. 

“Daripada 208 perlawanan, Pengadil VAR telah membuat sebanyak 1,255 semakan (tidak termasuk ‘Silent Check’). Daripada 1,255 semakan VAR, sebanyak 101 semakan melibatkan ‘On Field Rieview’ (OFR),” jelasnya.

Beliau memberitahu, purata masa tambahan daripada VAR adalah lebih rendah iaitu 1.96 minit jika dibandingkan dengan purata masa tambahan daripada pengadil di padang permainan iaitu 4.70 minit. 

“Ini bermakna penggunaan teknologi VAR tidak mengganggu kelancaran permainan. Analisa data juga menunjukkan musim lalu sebanyak 647 gol dijaringkan yang mana semua gol tersebut telah disemak oleh Pengadil VAR sebelum disahkan. 

“Sebanyak 64 gol dijaringkan melalui sepakan penalti dan ia telah disemak oleh Pengadil VAR sebelum disahkan penalty,” ujarnya.

Sivasundaram berkata lagi, penggunaan VAR pada musim 2024-2025 telah menampakkan satu trend yang amat baik berkaitan berdasarkan jumlah aduan dan ketepatan keputusan pengadil. 

Jumlah aduan pada musim 2024-2025 berkurangan pada 2.24% berbanding dengan 4.15% pada musim 2023-2024. Manakala, ketepatan keputusan pengadil di padang bagi musim 2024-2025 bertambah baik dengan kadar 98.07% berbanding musim 2023-2024 dengan kadar 88.76%,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, penggunaan VAR dalam Liga Malaysia musim lalu jelas meningkatkatkan prestasi pengadil. 

“Unit Pengadil juga telah menjalankan kelas-kelas bimbingan dan pemulihan secara ‘online’ sebagai langkah proaktif bagi mendidik pengadil-pengadil,” jelasnya.

Sebagai rekod, FAM merupakan satu-satunya badan induk sukan bola sepak di Asia Tenggara yang menggunakan teknologi VAR bagi semua perlawanan yang dimainkan dalam Liga Super, Piala Malaysia, Piala FA dan 2 perlawanan Challenge Cup melibatkan keseluruhan 208 perlawanan.

Dalam pada itu, Sivasundaram turut berkata, FAM dan MFL selaku badan pengelola Liga Malaysia sedia memberikan perkhidmatan dan prestasi pengadil yang cemerlang dalam setiap perlawanan yang akan dilangsungkan pada musim 2025-2026. 

“Penggunaan teknologi VAR dalam Liga Malaysia bukan sahaja meningkatkan mutu pengadil, bahkan ia memberi peluang kepada pengadil-pengadil kita untuk layak mengadili perlawanan di peringkat AFC dan FIFA.

“Jadi saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Dato Ab Ghani Hassan, Presiden MFL atas kerjasama dan bantuan yang diberikan bagi memperkasakan mutu pengadil-pengadil di negara ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berharap semua pasukan yang bertanding pada musim 2025-2026 akan menunjukkan satu semangat kesukanan yang tinggi.

“Diharapkan mereka juga dapat bekerjasama baik dengan pegawai perlawanan. FAM berharap agar amalan ini akan diteruskan demi kemajuan bola sepak negara,” katanya.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd