Perak FA Sasar Juara Liga A1 Semi-Pro

July 9, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Persatuan Bola Sepak Perak (Perak FA) yang kembali menubuhkan pasukan untuk beraksi dalam divisyen kedua bola sepak tanah air, Liga A1 Semi-Pro mempunyai cita-cita besar untuk digapai.

Penolong Pengurus Perak FA, Zainal Anuar Abd Rashid melontarkan harapan agar pasukannya yang dibentuk dengan adunan pemain yang pernah beraksi dalam kancah Liga Super, Piala Presiden (bawah 20 tahun) dan Piala Belia (bawah 18 tahun) itu dapat merangkul kejuaraan pada musim ini.

Setidak-tidaknya, pasukan yang akan menggunakan Stadium Perak, Ipoh atau Stadium Majlis Perbandaran Manjung sebagai gelanggang rasmi dapat meraih promosi ke saingan Liga Super pada musim berikutnya.

“Sudah pasti bila kita masuk kejohanan sasaran kita mesti mencipta kejayaan, jadi johan atau terus balik semula ke Liga Super, itu harapan saya,” katanya ketika ditemui pihak media baru-baru ini.

Selain daripada pemain-pemain tempatan, Perak FA juga bercadang untuk mendapat pemain-pemain import bagi mengukuhkan lagi pasukan dan memberikan cabaran dalam saingan Liga A1 Semi-Pro yang akan bermula tidak lama lagi.

Zainal memaklumkan pasukannya akan mengadakan sesi percubaan buat beberapa pemain import yang akan diserapnya bermula pertengahan Julai.

Bagi menguji pemain-pemain itu, dua perlawanan persahabatan turut dirangka dengan bertemu ATM dan Melaka FC pada 17hb dan 25hb Julai masing-masing.

Ketika ditanyakan mengenai bajet yang dikeluarkan oleh Perak FA, Zainal tanpa mendedahkan sebarang angka memaklumkan ianya sesuai dengan keperluan untuk beraksi dalam Liga A1.

Untuk makluman, Perak FA yang merupakan badan induk bagi sukan bola sepak di Negeri Perak tampil menubuhkan pasukan untuk beraksi dalam piramid bola sepak tanah air selepas Perak FC (dahulunya dilahirkan daripada Perak FA) mengumumkan memberhentikan operasinya berkuat-kuasa serta-merta pada penghujung Mei lalu.

Featured Image: Amateur Football League

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd