SSMZA Naik Taraf Sistem Saliran, Dijangka Siap Penghujung Julai
Hafiz Omar

Gelanggang rasmi bagi Terengganu FC iaitu Stadium Sultan Mizan Zainal kini sedang berada dalam proses penyelenggaraan dan naik taraf untuk beberapa aspek seperti saliran, rumput dan sistem pencahayaannya.
Itu jawapan kepada persoalan yang dilontarkan oleh sebilangan penyokong yang menanyakan mengapa perlawanan persahabatan pramusim melibatkan Terengganu FC pada Selasa berlangsung di gelanggang lamanya, Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS).
Pertarungan itu menyaksikan skuad bimbingan Badrul Afzan mencatatkan kemenangan 3-1 ke atas Penang FC hasil jaringan Safwan Mazlan, Khala’if Naskam dan Yann Mabella. Sementara itu, jaringan tunggal oleh pelawat pula dicetak oleh Tchetche Kipre – bekas pemain Terengganu FC.
Perkara tersebut dikongsikan sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa (Exco) Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Terengganu FC, YB Hishamuddin Abdul Karim.

“Buat masa ini, padang Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sedang berada dalam proses akhir menaik taraf sistem saliran padang. Ia dijangka siap sepenuhnya pada penghujung Julai ini, Insya-Allah.”
“Proses merawat kembali rumput padang pula sedang dilaksanakan secara berperingkat mengikut zon.”
“Sementara itu, pihak kami juga sedang berusaha untuk memastikan pencahayaan lampu limpah di SSMZA dinaik taraf bagi memastikan ia melepasi tahap minimum pencahayaan lampu limpah.” katanya menerusi hantaran di pelbagai platform media sosialnya, pada hari ini.
Berdasarkan foto-foto yang dikongsikan, terdapat beberapa kawasan padang SSMZA dikorek dan diletakkan dengan saluran air yang baharu. Sebahagian besarnya pula telah siap dikambus dan ditutupi semula rumput jenis Bermuda Princess 77-nya.

Dalam satu perkongsian yang lain, Hishamuddin memaklumkan pihaknya telah mengadakan sesi temuduga untuk melantik Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terengganu FC yang baharu.
Beliau memaklumkan keputusan telah dicapai dan ianya akan diumumkan secara rasmi selepas selesai proses berkaitan pentadbiran.
“Hasrat untuk menampilkan seorang CEO yang memiliki latar belakang pengurusan korporat adalah untuk memperkasakan lagi matlamat penswastaan kelab agar tatacara pengurusannya lebih strategik dan berkesan.” tulisnya.
Sebagai rekod, jawatan CEO Terengganu FC kosong sejak awal Mei lalu berikutan Mohd Sabri Abas telah dilantik dan diberikan tanggungjawab baharu sebagai Setiausaha Majlis Perbandaran Dungun.
Featured Image: Facebook Hishamuddin Abdul Karim