DPMM FC Buru Khidmat Penjaga Gol Brazil
Hafiz Omar

DPMM FC yang dijemput beraksi dalam kancah Liga Malaysia bakal menggunakan khidmat penjaga gol dari Brazil untuk mengawal gawangnya.
Ini selepas kelab berpangkalan di Brunei Darussalam bimbingan James McAllister memaklumkan akan menandatangani khidmat Michel Americo dos Santos yang berusia 23 tahun.
Memetik laman sesawang rasmi kelab, pihak pengurusan mahu menandatanganinya selepas Pengurus Besar DPMM FC, Ali Momin menyaksikan persembahannya semasa tempoh pramusim di Brazil.
Bagaimanapun, DPMM FC mahu menawarkan kontrak jangka masa pendek sahaja kepada Michel iaitu selama enam bulan dengan pilihan untuk melanjutkannya.
Michel ketika ini beraksi bersama EC Taubate di negara kelahirannya. Sebelum ini, penjaga gol berketinggian 1.96 meter itu pernah berkelana di India dengan menyertai Thiruvananthapuram Kombans FC pada musim 2024-25.
Untuk makluman, DPMM FC mensasarkan untuk menandatangani tujuh pemain import bagi mengharungi saingan sulung Liga Malaysia selepas 17 tahun.
Mereka telah memberikan komitmen untuk beraksi dalam tiga musim dalam kancah Liga Malaysia dan musim 2025-2026, DPMM FC meletakkan impian untuk berada dalam kelompok enam terbaik.