Peraturan Baharu, Hanya 6 Pemain Import Atas Padang – MFL 

July 9, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Pengelola pertandingan bola sepak tempatan, Malaysian Football League (MFL) tampil mengumumkan peraturan baharu mengenai penglibatan pemain asing atau import bagi musim 2025-2026.

Peraturan baharu itu menyaksikan setiap kelab hanya boleh menurunkan enam pemain import sahaja di atas padang pada hari perlawanan. Manakala tiga lagi berada di bangku simpanan.

Bagaimanapun, setiap kelab kekal boleh mendaftarkan maksimum sehingga 15 orang pemain import sepertimana diumumkan sebelum ini.

“Kuota pemain asing di atas padang adalah seramai 6+3 (simpanan) dengan komposisi 4 terbuka + 1 asia + 1 ASEAN berbanding sebelum ini 7+2 (simpanan) dengan komposisi 4 terbuka + 1 asia + 2 ASEAN.”

“Keputusan untuk mengurangkan seorang pemain asing di atas padang dilihat dapat memberi sedikit keseimbangan di antara pemain tempatan dan pemain asing dalam kesebelasan utama pasukan pada hari perlawanan.” kongsi MFL dalam satu kenyataan yang disiarkan pada hari ini.

Jelas MFL, keputusan itu dibuat bagi memberi sedikit keseimbangan di antara pemain tempatan dan pemain import dalam kesebelasan utama pada hari perlawanan.

Pada masa yang sama, perkembangan pemain tempatan juga menjadi agenda utama MFL bagi membantu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memperkasakan skuad bola sepak kebangsaan berjulukan Harimau Malaya.

“Malah pandangan kelab-kelab juga diambil kira dalam keputusan pindaan ini di mana mereka berpendapat kehadiran lebih ramai pemain ASEAN tidak memberi banyak impak kepada prestasi pasukan.” tambah kenyataan itu lagi.

Dalam kenyataan yang sama, MFL sempat melontarkan nasihat bahawa tiada sebarang kewajipan buat mana-mana kelab untuk memenuhi kuota pemain import dan ianya bergantung kepada keperluan dan kemampuan kewangan masing-masing.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd