Noor Ainun Cipta Rekod Lari 444KM ‘Coast To Coast’ Dari Lumut Ke Bachok

July 10, 2025
Lain-Lain

Hafiz Omar

Seorang pegawai bank, Noor Ainun Yeop Kamaruddin kini menjadi pemegang rekod Wanita Malaysia Pertama Menamatkan Larian Ultra Maraton Nozomi ‘Coast To Coast’ Jarak 444 Kilometer (KM) selepas diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR).

Pengiktirafan itu diberikan oleh MBOR kepada Ainun atau nama popularnya, Kak Tutu sambil disaksikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Adam Adli dalam satu majlis yang berlangsung di Menara KBS, pada hari ini.

Rekod itu hadir selepas Ainun menamatkan acara Nozomi Coast To Coast 2025 Edisi Ke-6 anjuran Endurance Malaysia yang bermula dari Lumut, Perak dan berakhir di Pantai Irama, Bachok, Kelantan.

Dia memulakan lariannya pada Isnin (19hb Mei), jam 7.30 pagi dan menamatkannya pada Sabtu (24hb Mei), jam 1.48 pagi sekaligus menjadikannya merekodkan masa larian selama 114 jam 18 minit 14 saat.

Lebih menggembirakannya, kejayaannya melengkapkan larian 444km itu dijayakannya dua hari sebelum ulang tahun ke-44 sekaligus menjadi hadiah yang bermakna buat hidupnya.

Dimaklumkan, Ainun yang juga ibu kepada tiga orang menjadi satu-satunya peserta wanita Malaysia yang menamatkan larian ini sejak acara ini dianjurkan buat julung kalinya bermula tahun 2017.

Bagi pihak KBS, usaha dan kejayaan oleh Ainun ini diharapkan dapat memberi inspirasi dan galakan kepada seluruh komuniti sukan serta menyemarakkan lagi pembudayaan sukan secara menyeluruh di Malaysia.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd