Ranking FIFA: Malaysia Jejak Tangga 125 Dunia Selepas 19 Tahun
Hafiz Omar

Skuad bola sepak kebangsaan bimbingan Peter Cklamovski kini berada di kedudukan terbaiknya dalam Ranking Dunia selepas 19 tahun apabila menjejakkan kaki di tangga 125 dunia.
Malaysia yang turut dijuluki Harimau Malaya menghuni kedudukan itu, meningkat enam anak tangga berbanding kedudukan lama, selepas kemaskini dilakukan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) di laman sesawangnya, pada hari ini.
Berdasarkan laman sesawang itu, Malaysia berada di situ, mengumpul 1138.48 mata, selepas meraih tambahan 14.91 mata hasil mengikat Cape Verde 1-1 serta mencetak kemenangan 4-0 ke atas Vietnam pada 29hb Mei dan 10hb Jun yang lalu.
Berdasarkan kenyataan oleh FIFA, kenaikan sebanyak enam anak tangga oleh Malaysia itu antara langkauan terbesar di benua asia selain daripada Hong Kong (+6), Laos (+6) dan Indonesia (+5).
Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia dilihat berada di kedudukan 125 dunia adalah pada Februari 2006. Ketika itu, skuad kebangsaan dikendalikan oleh Norizan Bakar dan dibarisi pemain-pemain seperti Norhafiz Zamani Misbah, Hardi Jaafar dan Syamsuri Mustafa.
Sementara itu, kedudukan secara keseluruhan pasukan-pasukan dari asia tenggara berdasarkan Ranking Dunia tidak banyak berubah. Thailand dan Vietnam biarpun mengalami sedikit kejatuhan tetap mengungguli tangga No.1 dan No.2 di rantau ini.
Indonesia yang kini beraksi di pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 berjaya memintas Malaysia sekaligus menempatkan selaku pasukan No.3 asia tenggara selepas menduduki tangga 118 dunia pada saat ini.
Malaysia di kedudukan No.4 dan ianya diikuti oleh Filipina (145), Singapura (159), Myanmar (160), Kemboja (180), Brunei (183), Laos (185) dan Timor-Leste (195). FIFA menjadualkan kemaskini yang berikutnya pada 18hb September 2025.
Featured Image: Malaysia NT