Brendan Gan Kembali Ke Kelab Zaman Remajanya Di Australia
Hafiz Omar

Pemain tengah berdarah campuran Australia-Malaysia, Brendan Gan kini meneruskan karier bola sepaknya dengan menyertai Sutherland Sharks FC – kelab di zaman remajanya.
Kehadiran pemain berusia 37 tahun itu diumumkan sendiri oleh pihak kelab berkenaan menerusi satu kenyataan yang dikongsikan di pelbagai platform media sosialnya, pada hari ini.
Pengumuman itu turut diiringi dengan pemakluman bahawa Brendan akan diberikan jersi bernombor 88 sambil mengepilkan sepuluh keping foto pemain yang berjaya sembuh melawan kanser itu menyarung jersi “sky blue” dengan beberapa gaya.
Ini merupakan penyertaan semula Brendan, selepas 17 tahun, bersama Sutherland Sharks. Brendan dilihat menyarung jersi skuad berjulukan The Sharks itu buat kali terakhir adalah pada tahun 2008 sebelum dia berhijrah menyertai Sydney FC.
Sebagai tambahan, ini juga merupakan kepulangan pertama Brendan ke saingan bola sepak Australia selepas beraksi buat kali terakhir di sana bersama Rockdale City Suns FC sekitar tahun 2014.
Untuk makluman, kelab yang disertai Brendan ini menggunakan Seymour Shaw Park sebagai gelanggang rasminya dan mereka mengambil bahagian dalam kancah National Premier League NSW – divisyen kedua bola sepak Australia bertaraf semi profesional.
Featured Image: Sutherland Sharks FC