FAM Terima Hingga RM4 Juta Setahun Daripada Bank Islam

July 11, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Sekitar RM2 juta hingga RM4 juta setahun disalurkan oleh Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi tujuan program pembangunan bola sepak Malaysia dan manfaat bakat-bakat muda.

Dana itu disalurkan hasil daripada kerjasama menerusi Kad Debit-I Jenama Bersama Team Harimau Malaya yang telah mencatat lebih dua juta pengguna di pasaran.

Untuk pengetahuan semua, bagi setiap fi pengeluaran, tahunan dan penggantian Kad Debit I Team Harimau, sebanyak RM2 akan disalurkan kepada FAM.

“Perjanjian atau kerjasama antara Bank Islam dan FAM telah dimeterai (bermula) pada tahun 2013 dimana setiap tahun Bank Islam telah menyumbangkan di antara RM2 juta hingga RM4 juta kepada FAM untuk pembangunan dan juga (aktiviti) pelbagai peringkat (umur),” kata Exco FAM merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemasaran dan Penajaan FAM, CP Dato’ Sri Mohd Yusri Hassan Basri.

Berikutan itu, Bank Islam tampil meneruskan komitmennya dengan memeterai pembaharuan perjanjian kerjasama strategik bersama FAM buat kali kelima serta meneruskan program Kad Debit-I Team Harimau.

Perjanjian strategik tersebut telah ditandatangani pada hari ini dalam satu majlis yang berlangsung di Menara Bank Islam oleh Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan – Perbanka Runcit Bank Islam, Mizan Masram dan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman.

Upacara tandatangani itu turut disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Bank Islam, Dato’ Mohd Muazzam Mohamed dan Presiden Kehormat FAM, Tan Sri Dato’ Haji Hamidin Mohd Amin.

Di bawah perjanjian yang ditandatangani, Bank Islam akan menganjurkan program-program pengaktifan, sama ada secara digital mahupun di lokasi acara yang melibatkan FAM, termasuk penyediaan reruai khas pada hari perlawanan, aktiviti penjenamaan bersama, kandungan media sosial serta pertandingan untuk peminat.

Jalinan kerjasama ini juga menawarkan peluang kepada penyokong-penyokong skuad bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya, memiliki kad rekaan istimewa sebagai cara menzahirkan sokongan mereka terhadap pasukan berkenaan serta menikmati pelbagai manfaat yang disediakan termasuk pengeluaran ATM dan pembayaran secara elektronik bagi pembelian tempatan dan luar negara.

Featured Image: Football Association of Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd