Stadium Mini Jitra Rumah Baharu KDA FC
Hafiz Omar

Stadium Darul Aman yang mampu memuatkan sekitar 30,000 penonton menjadi gelanggang rasmi buat Kedah Darul Aman FC (dahulunya dikenali sebagai Kedah FA) sejak sekian lama namun tidak lagi pada saingan Liga A1 Semi-Pro nanti.
Sebaliknya, kelab yang diswastakan daripada Persatuan Bola Sepak Kedah (Kedah FA) itu akan berpindah ke rumah baharu yang lebih kecil iaitu Stadium Mini Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP) atau lebih dikenali sebagai Stadium Mini Jitra.
Perkembangan itu hadir selepas penganjur, Amateur Football League (AFL) menerbitkan jadual perlawanan lengkap sepanjang musim 2025-2026 yang memaparkan Stadium Mini Jitra menjadi venue perlawanan apabila KDA FC turun selaku pasukan tuan rumah.
Baca: KDA FC Sasar ‘Bertapa’ Selama 3 Musim Dalam Liga A1 Semi-Pro
Untuk makluman, KDA FC yang dimiliki secara majoriti oleh Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar akan memulakan kempen Liga A1 Semi-Pro dengan melayan kunjungan Machan FC di stadium berkenaan pada 3hb Ogos (Ahad) dengan sepak mula jam 4.45 petang.
Sementara itu, Stadium Darul Aman yang terletak di ibu negeri pula menjadi gelanggang rasmi bagi sebuah pasukan yang ditubuhkan semula oleh badan induk, Persatuan Bola Sepak Kedah menggunakan nama Kedah FA.
Pasukan bimbingan Victor Andrag ini pula akan memulakan kempen Liga A1 Semi-Pro dengan melawat ke negeri paling utara di semenanjung tanah air untuk bertemu Perlis GSA FC merangkap juara Liga A2 Amateur di Stadium Tuanku Syed Putra pada 2hb Ogos (Sabtu), sepak mula 8.45 malam.
Featured Image: Persatuan Bola Sepak Kedah