Sebahagian Keuntungan Jualan Chery Tiggo Cross Disalur Ke KWASN

July 11, 2025
Lain-Lain

Hafiz Omar

Subsidiari kepada jenama automotif global dari China, Chery Malaysia memaklumkan sebahagian daripada keuntungan penjualan model Chery Tiggo Cross yang dilancarkan baru-baru ini akan disalurkan ke Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN).

Keputusan itu dilakukan Chery Malaysia sebagai komitmen berterusannya kepada usaha-usaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam merakyatkan dan membangunkan sukan selari dengan Visi Sukan Negara 2030.

Sebelum itu, Chery Malaysia turut mengumumkan penyaluran sebanyak RM50,000 kepada KWASN ketika majlis pelancaran model terbarunya bagi segmen kenderaan utiliti sukan (SUV) yang turut dihadiri oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh. 

Untuk makluman, KWASN merupakan tabung amanah yang dibuka kepada umum. Ianya bertujuan menyediakan geran untuk menganjurkan program atau aktiviti sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Ini termasuk penyertaan atlet (bernaung di bawah persatuan sukan atau persendirian) dalam kejohanan bertaraf antarabangsa di luar negara khususnya bagi membantu menaikkan kedudukan ranking atlet negara.

Ini bukanlah julung kalinya Chery Malaysia tampil membantu sektor sukan negara. Pada tahun lalu, mereka telah menghadiahkan kereta kepada atlet-atlet negara yang berjaya meraih pingat di temasya Sukan Olimpik.

Selain itu, mereka turut memberikan diskaun eksklusif kepada pemenang pingat emas, perak dan gangsa serta beraksi di temasya Paralimpik 2024.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd