Chelsea Ditabalkan Juara Piala Dunia Kelab FIFA 2025
July 14, 2025 Hafizuddin Omar

Kelab berpangkalan di London, Chelsea kini ditabalkan selaku juara edisi pertama Piala Dunia Kelab FIFA selepas berjaya mengalahkan Paris Saint-Germain (PSG) – juara Liga Juara-Juara UEFA (UCL) – dengan bergaya dalam perlawanan akhir.

Lebih mengagumkan, Chelsea bimbingan Enzo Maresca meraih kemenangan bergaya di Stadium MetLife dengan keputusan 3-0 hasil jaringan berganda Cole Palmer (22’ dan 30’) serta satu jaringan oleh Joao Pedro (43’).

PSG pimpinan Luis Enrique dibarisi beberapa pemain berstatus bintang seperti Khicha Kvaratskhelia, Ousmane Dembele, Marquinhos, Achraf Hakimi dan Gianluigi Donnarumma ternyata tidak mempunyai jawapan balas terhadap ketiga-tiga jaringan itu sehingga pengadil, Alireza Faghani meniup wisel menamatkan permainan.

Keputusan itu sekaligus meranapkan impian PSG yang dipengerusikan oleh Nasser Al-Khelaifi untuk meraih gelaran “quadruple” selepas menjuarai Ligue 1, Coupe de France dan UCL.

Hasil menumbangkan PSG, kelab berjulukan The Blues itu turut muncul sebagai pasukan pertama menjulang trofi Piala Dunia Kelab FIFA rekaan baharu serta unik ciptaan pembuat barang kemas mewah, Tiffany & Co.

Trofi itu serta medal kemenangan diserahkan kepada para pemain dan barisan kejurulatihan Chelsea oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sambil diiringi oleh Presiden FIFA, Gianni Infantino.

Pada masa yang sama, dua pemain Chelsea iaitu Palmer dan Robert Sanchez berjaya menggondol anugerah individu masing-masing iaitu Bola Emas (Golden Ball) dan Sarung Tangan Emas (Golden Glove).

Sementara itu, pemain PSG, Desire Doue pula merangkul Anugerah Pemain Muda Terbaik manakala Anugerah Penjaring Gol Terbanyak pula menjadi milik pemain Real Madrid, Gonzalo Garcia.

Menurut penganjur, juara Piala Dunia Kelab FIFA 2025 akan membawa pulang ganjaran wang tunai lumayan yang boleh mencecah sehingga AS$125 juta (~RM532 juta).

Sebagai rekod, ini merupakan kali kedua Chelsea menjuarai Piala Dunia Kelab FIFA selepas menjuarainya pada edisi 2021 – kejohanan format lama.

Featured Image: Chelsea FC

Komen