Annuar Musa Ditawarkan Jawatan Presiden Kelantan The Real Warrior

July 14, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Mantan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa nampaknya semakin hampir untuk membabitkan diri secara rasmi dalam kancah bola sepak tanah air.

Ini susulan beliau mendedahkan telah diberikan tawaran secara rasmi untuk menggalas jawatan sebagai Presiden Kelantan The Real Warriors (sebelum ini dikenali sebagai Kelantan Darul Naim FC), pada minggu lalu.

Bagaimanapun, Annuar yang mempunyai pengalaman mentadbir Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), memimpin Kelantan The Red Warriors dan bertindak sebagai Pengerusi Kuala Lumpur City FC (KL City) belum membuat keputusan samada untuk menerima atau menolak tawaran terbabit.

“Minggu lepas saya diberikan tawaran secara rasmi untuk menggalas (jawatan) sebagai Presiden Kelab.” katanya menerusi satu hantaran di akaun Facebook rasminya, tengah hari tadi.

“Saya pernah menggalas tugas Presiden KAFA dengan pasukan Liga Super Liga Super TRW yang menjuarai treble dan Presiden KL City yang menjuarai Piala Malaysia. Banyak suka dan dukanya.” tambahnya.

Annuar menjelaskan dirinya akan melakukan pertemuan dengan pemegang saham dan pengurusan kelab pada Selasa di Kota Bharu, Kelantan sebelum menerima atau menolak secara rasmi akan tawaran tersebut.

“Saya perlu mendapat gambar lebih jelas beberapa perkara pokok dan dasar.” katanya lagi.

“Cabaran kali ini lebih jauh lebih berat daripada sebelumnya. Saya amat bersimpati dengan semua pihak yang sanggup berusaha dan bersusah payah demi (negeri) Kelantan.” ujarnya.

Seandainya beliau tidak dapat menerima tawaran tersebut, beliau tetap memberikan tekad untuk membantu pasukan-pasukan dari negeri Kelantan yang beraksi di Liga A2, Liga A2 apatah lagi di Liga Super. 

Beliau sedang berada di negara jiran tetangga iaitu Indonesia pada ketika ini. Semalam, beliau sempat bertemu bekas ketua jurulatih dari Croatia yang pernah bekerja bersamanya melatih Kelantan FA dan KL City FC sehingga meraih kejuaraan iaitu Bojan Hodak.

Jurulatih berusia 54 tahun itu kini merupakan ketua jurulatih Persib Bandung yang masih segar dengan kejayaan mempertahankan kejuaraan liga pada Mei lalu.

Dalam pertemuan yang berlangsung di sebuah kedai makan itu, Bojan turut mengambil kesempatan untuk menghadiahkan Annuar sehelai jersi Persib Bandung yang siap dicetak nama “TSAM”.

“Insya-Allah esok (Selasa) saya balik ke (negeri) Kelantan.. Kita bincang anak beranak.” sambungnya.

Featured Image: Facebook Tan Sri Annuar Musa

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd