Kelantan WTS Nafi Jadi ‘Feeder Club’

July 14, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Kelantan WTS FC bukan sebuah “feeder club” atau pasukan pelapis atau simpanan kepada Kelantan The Real Warriors (dahulunya dikenali sebagai Kelantan Darul Naim FC) atau mana-mana kelab.

Demikian penegasan diberikan oleh presidennya bagi menjawab dakwaan bahawa naib juara Liga A2 Amatuer musim lalu itu telah menjadi sebuah pasukan berstatus “feeder club”.

“Kelantan WTS FC dengan ini menafikan sekeras-kerasnya kenyataan tersebut dan menegaskan bahawa kami bukan pasukan ‘feeder’ kepada mana-mana kelab lain. Sebaliknya, kami berdiri sebagai sebuah kelab profesional yang berdikari, berdaftar dan mempunyai pengurusan serta hala tuju pembangunan sukan bola sepak yang tersendiri.” katanya menerusi satu kenyataan media yang disiarkan baru-baru ini.

Terdahulu, dakwaan itu timbul selepas Presiden Amateur Football League (AFL), Datuk Wira Mohd. Yusoff Mahadi memaklumkan saingan Liga A1 Semi-Pro yang bakal membuka tirainya pada awal Ogos nanti akan disertai empat buat pasukan “feeder”.

Katanya, Kelantan WTS FC menjadi pasukan terbaru bertukar kepada status “feeder club” selepas mengadakan kerjasama dengan kelab Liga Super, Kelantan The Real Warriors selain daripada  Johor Darul Ta’zim II, Selangor FC II dan Imigresen FC II.

“Kami ingin menjelaskan bahawa hubungan kami dengan Kelantan The Real Warriors adalah atas dasar kerjasama strategik, khususnya dalam memartabatkan bola sepak negeri Kelantan secara menyeluruh. Hubungan ini dibina atas semangat ‘satu negeri, satu semangat’ bukan atas struktur hierarki kelab induk dan kelab pembangunan.” katanya menerusi satu kenyataan media yang disiarkan baru-baru ini.

Untuk makluman, Kelantan WTS FC yang turut diperkuatkan dengan beberapa bekas pemain Liga Super seperti Wan Zaharulnizam, Nazrin Nawi, Khairul Rizam, Syazwan Yusoff dan lain-lain akan memulakan kempen Liga A1 dengan bertemu Malaysian University di Stadium USIM, Nilai pada 3hb Ogos.

Featured Image: Facebook Wan Tendong Stable FC

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd