Terbuka Jepun: Alex Lanier Singkir Jun Hao Di Pusingan 32
Hafiz Omar

Perjalanan satu-satunya wakil negara dalam kategori perseorangan lelaki, Leong Jun Hao di Terbuka Jepun 2025 terhenti dan terus ditunjukkan jalan keluar selepas beraksi satu perlawanan.
Ini berikutan pemain berusia 26 tahun terbabit tumpas di tangan perseorangan Perancis yang menduduki ranking kelapan dunia, Alex Lanier ketika bertembung di pusingan 32, hari ini.
Perlawanan yang berlangsung di Gimnasium Metropolitan Tokyo itu menyaksikan Jun Hao tewas di tangan Alex secara “straight set” menerusi skor 12-21 dan 14-21 dalam masa 40 minit.
Keputusan itu sekaligus membuatkan Jun Hao kini terkandas awal sebanyak enam kali daripada sepuluh kejohanan individu yang disertainya setakat tahun ini.
Sementara itu, Alex yang juga diletakkan sebagai pilihan kelapan berhasil meneruskan langkahnya ke pusingan 16.
Pada peringkat berkenaan, Alex bakal bertemu dengan perseorangan Indonesia yang menduduki ranking ke-28 dunia, Alwi Farhan untuk merebut tiket ke peringkat suku akhir bagi kejohanan Jelajah Dunia BWF Super 750 ini.
Terdahulu, Alwi mara selepas berjaya menumbangkan pemain Chinese Taipei, Lee Chia Hao secara “straight set” menerusi skor 21-18 dan 21-11.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia