Kelantan WTS FC Uji Kelab Divisyen 3 Thailand 18 Julai
Hafiz Omar

Kelab berpangkalan di pantai timur, Kelantan WTS FC akan mengasah taringnya berdepan dengan sebuah kelab dari luar negara pada 18hb Julai bertempat di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu sebagai persiapan sebelum memulakan kempen Liga A1 Semi-Pro.
Seperti dikongsikan oleh pihak kelab, perlawanan persahabatan antarabangsa itu bakal menemukan skuad bimbingan Che Saupi Ibrahim dengan Nara United FC yang beraksi dalam divisyen ketiga bola sepak negara jiran tetangga iaitu Thailand.
Sehubungan itu, Presiden Kelantan WTS FC, Wan Muhd Ridhuan menyeru para penyokong skuad berjulukan The Red Fighters dan orang ramai untuk turun ke SSMIV bagi memberikan sokongan agar dapat memotivasikan para pemain untuk menampilkan persembahan yang terbaik.
“Saya mensasarkan kehadiran lebih 5,000 penonton akan menyaksikan perlawanan ini dan difahamkan penyokong pasukan Nara United FC juga turut hadir bersama.”

“Ayuh, ini rumah kita, ini masanya juga penyokong-penyokong dari negeri Cik Siti Wan Kembang ini bersatu untuk menyokong pasukan dari Kelantan,” katanya.
Tiket untuk menyaksikan perlawanan terbabit akan dijual bermula 16hb Julai (Rabu) di SSMIV bermula pukul 2 hingga 6 petang. Manakala pada 17hb Julai (Khamis) serta 18hb Julai (Jumaat), jualan tiket akan bermula dari 10 pagi hingga 6 petang.
Tanda harga yang diletakkan oleh Kelantan WTS FC adalah RM10 untuk kategori tempat duduk terbuka dan RM20 bagi kategori astaka.
“Bagi orang Pasir Mas tiket juga turut dijual di Restoran Wan Noor Steamboat Tendong dan Pejabat Urusan WTS FC,” ujarnya.
Tambah Wan Muhd Ridhuan lagi, pembentukan Kelantan WTS FC kini sudah mencapai tahap 100% dengan turut disertai beberapa bekas pemain Liga Super seperti Wan Zaharulnizam, Nazrin Nawi, Shahrul Hakim, Syazwan Yusoff dan beberapa nama lagi yang berpengalaman.
Featured Image: Kelantan WTS FC