Terbuka Jepun: Beregu No.1 Dunia Mudah Ke Pusingan 16
Hafiz Omar

Beregu lelaki No.1 dunia, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin mudah melangkah ke peringkat seterusnya dalam saingan Terbuka Jepun 2025 setelah mencetak kemenangan bergaya pada pusingan 32, sebentar tadi.
Dalam pertarungan tersebut, Sze Fei-Izzuddin yang turun selaku juara bertahan mencetak kemenangan ke atas lawannya dari Kanada, Kevin Lee dan Ty Alexander Lindeman secara “straight set” menerusi skor 21-13 dan 21-15 dalam masa 23 minit.
Kemenangan itu membawa Sze Fei-Izzuddin bertemu dengan beregu Korea yang mampu memberikan mereka cabaran yang lebih sukar, Kang Min Hyuk dan Seo Seung Jae dari Republik Korea.
Berdasarkan rekod, Sze Fei-Izzuddin sudah pernah berentap sebanyak lima kali dengan gandingan itu. Tiga daripadanya – Terbuka Jepun 2024, Kejohanan Badminton Asia 2024 dan Masters Indonesia 2021 – berjaya dimenangi oleh Sze Fei-Izzuddin.
Terdahulu, Min Hyuk-Seung Jae berhasil melakar kemaraan ke pusingan 16 selepas mengalahkan beregu Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri dan Daniel Marthin menerusi tiga permainan yang berkesudahan dengan skor 12-21, 21-15 dan 21-19.
Featured Image: Facebook VICTOR