Annuar Musa Setuju Dilantik Presiden Kelantan The Real Warriors
Hafiz Omar

Bapa pembangunan bola sepak negeri Kelantan, Tan Sri Annuar Musa kembali membabitkan dirinya secara rasmi dalam kancah bola sepak tanah air apabila bersetuju untuk menggalas jawatan Presiden Kelantan The Real Warriors.
Persetujuan menggalas jawatan presiden itu dikongsikan oleh pihak kelab yang dahulunya dikenali sebagai Kelantan Darul Naim FC serta Annuar sendiri menerusi platform media sosialnya, pada hari ini.
“Setelah hampir 2 jam mendengar penjelasan pihak kelab mengenai pelbagai isu serta mengkaji keupayaan dan komitmen pemegang saham, saya bersetuju menggalas tugas sebagai Presiden Kelantan TRW.” katanya.
Semalam, Annuar sendiri mendedahkan bahawa beliau telah ditawarkan jawatan Presiden Kelantan The Real Warriors sejak minggu lalu. Bagaimanapun, keputusan rasmi samada menerima atau menolak jawatan itu akan dilakukan selepas menemui pemegang saham dan pengurusan kelab pada hari ini.
Kesudian beliau untuk memimpin Kelantan The Real Warriors itu turut diiringi dengan lontaran dua sasaran utama ingin digerakkannya selaku presiden bagi kelab berpangkalan di pantai timur itu.
“2 objektif utama saya ialah meningkatkan mutu dan daya saing pasukan Liga Super Kelantan dan memmastikan kelab terus hidup berdaya maju serta mampu melunaskan baki tunggakan gaji pemain.” tambahnya.
Sebelum menerima jawatan selaku presiden secara rasmi, Annuar sempat mendedahkan senarai sepuluh pemain import yang akan menyertai Kelantan The Real Warriors iaitu Ifedayo Olusegun, Hen Htet Aung, Obus Prince Austin Aggreh, Damyanov Damyan Valeriy, Albert San Kang, Alexandre Primale Yeoule, Moayad Alkhouli, Abdul Sesay, Yususuf Sesay dan Simen Alexander.
Sementara itu, Annuar turut berkongsikan pada 26hb Julai kelak kelabnya itu dijangka akan melayani kunjungan kelab dari negara jiran tetangga iaitu Yala United dalam aksi persahabatan antarabangsa bertempat di Stadium Sultan Muhammad IV pada 26hb Julai.
Pihak kelab secara rasminya turut memaklumkan penjenamaan semula Kelantan Darul Naim FC kepada Kelantan The Real Warriors atau nama panggilannya “The Real Warriors”.
Featured Image: Facebook Tan Sri Annuar Musa