Terbuka Jepun: Pang Ron-Su Yin Berhadapan Beregu No.2 Dunia

July 16, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Beregu campuran No.3 negara, Hoo Pang Ron dan Cheng Su Yin akan membuat perhitungan dengan gandingan kedua dunia dari China, Jiang Zhen Bang dan Wei Ya Xin bagi merebut tiket ke peringkat suku akhir Terbuka Jepun 2025.

Pang Ron-Su Yin pernah bertembung Zhen Bang-Ya Xin sebanyak tiga kali setakat ini. Rekod menunjukkan dua daripadanya berpihak kepada beregu dari negara tembok besar itu.

Namun begitu, pertembungan terakhir yang berlangsung di Masters China 2024 berpihak kepada Pang Ron-Su Yin menunjukkan mereka sudah mempunyai idea untuk menewaskan Zhen Bang-Ya Xin.

Terdahulu, Pang Ron-Su Yin berhasil melakar kemaraan ke pusingan 16 selepas berhasil mengetepikan cabaran beregu Amerika Syarikat, Presley Smith dan Jennie Gai pada pusingan 32 yang berlangsung di Gimnasium Metropolitan Tokyo pada hari ini.

Gandingan negara berusia 27 dan 22 tahun masing-masing itu mencetak kemenangan menerusi skor 21-19, 12-21 dan 21-16 dalam masa 50 minit.

Sementara itu, Zhen Bang-Ya Xin yang turut diletakkan selaku pilihan kedua pula mara selepas melakar kemenangan bergaya secara “ straight set” menerusi skor 21-18 dan 21-18 ke atas lawan senegaranya, Gao Jia Xuan dan Wu Meng Ying.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd