Terbuka Jepun: Soon Huat-Shevon, Terry-Yu Jia Rebut Tiket Suku Akhir

July 16, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Peringkat pusingan 16 Terbuka Jepun 2025 akan menyajikan pertemuan sulung melibatkan beregu campuran No.2 negara, Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai dengan gandingan campuran No.1 Singapura, Terry Hee Yong Kai dan Jin Yu Jia.

Kedua-duanya belum pernah bertembung dalam mana-mana kejohanan antarabangsa setakat ini namun kedua-duanya dijadualkan berentap esok bagi merebut tiket suku akhir selepas melakar kemenangan pada pusingan 32, hari ini.

Soon Huat-Shevon yang juga merupakan pasangan suami isteri terlebih dahulu mengesahkan tempat ke pusingan 16 selepas mencetak kemenangan bergaya 21-15 dan 21-10 ke atas Ruttanapak Oupthong dan Jhenicha Sudjaipraparat.

Pertemuan keempat dengan beregu dari Thailand itu berjaya disudahi oleh Soon Huat-Shevon yang turut diletakkan sebagai pilihan keenam dalam masa setengah jam sahaja.

Sementara itu, Terry-Yu Jia pula mara selepas bertarung sengit dengan beregu campuran No.2 Denmark, Mads Vestergaard dan Christine Busch.

Mereka bermula dengan kekalahan pada set pertama iaitu 13-21 sebelum bangkit mencatatkan kemenangan pada set kedua, 21-11, diikuti dengan kemenangan pada set ketiga, 21-17, dalam masa 49 minit.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd