Piala Negara-Negara CAFA: Malaysia Tarik Diri, Sukar Bawa Pemain Ke Tajikistan
July 16, 2025 Hafizuddin Omar

Hajat para penyokong dan peminat untuk melihat skuad bola sepak kebangsaan berjulukan Harimau Malaya berkongsi padang dengan pasukan handalan dari rantau asia tengah pada September kelak nampaknya tidak kesampaian.

Ini berikutan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat pengumuman yang mengejutkan dimana Malaysia bimbingan Peter Cklamovski memutuskan untuk menarik diri daripada saingan Piala Negara-Negara CAFA 2025.

Antara alasan yang diberikan adalah perubahan tarikh kejohanan selepas daripada undian rasmi dilakukan memberikan cabaran daripada segala aspek kepada skuad kebangsaan seperti sukar untuk mengumpulkan pemain-pemain dalam masa yang singkat, keperluan pemulihan pemain dan bajet.

“Kita memiliki pemain yang beraksi di liga terkemuka dunia seperti Sepanyol, Argentina, Colombia & Jepun. Untuk membawa mereka ke Tajikistan dalam masa yang singkat serta memastikan mereka bersedia beraksi pada tahap tertinggi adalah tidak realistik dalam jendela ini.”

“Selain itu, isu logistik, keperluan pemulihan pemain, serta implikasi terhadap bajet keseluruhan turut menjadi faktor penting. Saya tidak mahu menjejaskan kebajikan serta kondisi pemain atau menyertai kejohanan dengan skuad yang tidak lengkap.”

“Ini adalah satu keputusan yang tepat dan strategik. Fokus kami kini beralih sepenuhnya kepada kem latihan pada jendela September sebagai persiapan terbaik menjelang aksi penting pada Oktober dan November, perlawanan menentang Laos dan Nepal.” katanya seperti dipetik daripada kenyataan rasmi disiarkan FAM.

Untuk makluman, kejohanan edisi kedua anjuran Persatuan Bola Sepak Asia Tengah (CAFA) itu dijadualkan bermula 29hb Ogos dan tamat pada 8hb September. Sebagai perbandingan, kalendar perlawanan antarabangsa FIFA yang seterusnya bermula dari 1hb hingga 9hb September.

Ini bermakna, tiga hari daripada kejohanan itu berada di luar daripada jendela perlawanan antarabangsa FIFA dimana kelab-kelab tidak mempunyai sebarang kewajiban untuk melepaskan pemain-pemainnya untuk menyertai skuad kebangsaan.

Sebelum ini, undian rasmi bagi kejohanan yang melibatkan lapan buah pasukan itu menyaksikan Malaysia telah diundi bersama-sama juara bertahan, Iran serta Tajikistan dan Afghanistan dalam Kumpulan B.

Tajikistan yang menghuni ranking ke-106 dunia telah dipilih sebagai tuan rumah peringkat kumpulan.

Komen