Penyerang Muda Indonesia Tak Sabar Beraksi Di Liga Malaysia

July 16, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Penyerang baharu DPMM FC, Ramadhan Sananta menyifatkan pemain-pemain bintang yang ada di Liga Malaysia menarik minatnya untuk sertai kelab dari Brunei tersebut pada musim ini. 

Ramadhan antara bintang muda Indonesia memilih untuk ke Liga Malaysia buat kali pertama dengan menyertai DPMM FC mengakui teruja untuk memulakan saingan berentap dengan kelab-kelab lain bermula Ogos kelak.

Penyerang muda berusia 22 tahun ini sedar akan kualiti yang ada pada barisan pemain kelab-kelab Liga Malaysia seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC dan lain-lain. Perkara itu membuatkan Ramadhan tidak sabar untuk menguji kemampuannya bersama pesaing lain.

Nama Arif Aiman antara yang dilihatnya sebagai ancaman hebat selain pemain sayap yang kembali menyertai semula JDT, Moussa Sidibe – gandingannya ketika di Persis Solo.

“Dorongan saya untuk datang ke sini sebab saya tahu tentangan yang tinggi antara kelab-kelab yang ada di Liga Malaysia.”

“Mereka ada kualiti dan teknik permainan yang bagus, tambahan pula umur saya masih muda  dan saya harus punya kepercayaan diri untuk keluar daripada negara sendiri (Indonesia) dan cuba nasib di Liga Malaysia.”

“Saya ingin cuba sesuatu yang baharu di sini dan sebagai penyerang, saya nak bantu kelab ini (DPMM FC) dengan lebih baik.

“Saya tak sabar juga nak jumpa bekas gandingan saya, Moussa (Sidibe) yang sekarang di JDT dan saya tahu juga pemain seperti Arif (Aiman) yang sentiasa disebut-sebut dan banyak lagi pemain yang bagus-bagus di sini,” katanya.

Ramadhan antara bintang muda di Indonesia dikenali dengan kebolehan menyerangnya yang tajam serta bijak mencari peluang untuk mencetak gol. Dia bakal menjadi nadi penting dalam DPMM FC bimbingan James McAllister untuk memberikan cabaran di saingan Liga Super.

Dia mula menjadi sebutan penyokong Indonesia apabila menjadi tonggak skuad bawah 23 tahun merangkul pingat emas di temasya Sukan SEA 2023 dengan meledak dua gol menewaskan Thailand 5-2 di dalam perlawanan.

Tidak terhenti setakat itu, nama Ramadhan turut menjadi bualan susulan menjaringkan gol bersama skuad Garuda ketika menewaskan Vietnam 3-0 dalam pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd