Terbuka Jepun: Tang Jie-Ee Wei Mara Ke Pusingan 16
July 16, 2025 Hafizuddin Omar

Beregu campuran No.1 negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei nampaknya tiada masalah untuk melangkah ke pusingan 16 sekaligus meneruskan kempen di Terbuka Jepun 2025.

Diundi untuk berentap dengan wakil Kanada, Kevin Lee dan Josephine Wu pada pusingan 32, Tang Jie-Ee Wei yang turut diletakkan selaku pilihan keempat kejohanan muda menumpaskan lawannya itu secara “straight set” menerusi skor 21-15 dan 21-19 dalam masa 29 minit.

Kemenangan bergaya itu menghantar Tang Jie-Ee Wei bertemu dengan wakil Indonesia, Jafar Hidayatullah dan Felisha Pasaribu pada pusingan 16 bagi merebut tiket suku akhir bagi Jelajah Dunia BWF Super 750 ini.

Jafar-Felisha mara berikutan mengejutkan beregu China, Guo Xin Wa dan Chen Fang Hui secara “straight set” menerusi skor 21-12 dan 21-17.

Berdasarkan rekod, Tang Jie-Ee Wei pernah bertembung dengan Jafar-Felisha sebanyak satu kali setakat ini.

Pertemuan yang berlangsung di Masters Indonesia sekitar tujuh bulan lalu menyaksikan Tang Jie-Ee Wei meraih kemenangan secara “straight set” dengan kiraan 24-22 dan 21-14 dalam masa 46 minit.

Untuk makluman, seramai lima wakil Malaysia yang mengambil bahagian dalam kategori beregu campuran di Terbuka Jepun 2025. Selain dari Tang Jie-Ee Wei, dua lagi beregu campuran iaitu Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai dan Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin turut berjaya melangkah ke pusingan 16.

Hanya gandingan Wong Tien Ci dan Lim Chiew Sien sahaja terkandas susulan tewas di tangan wakil tuan rumah, Yuichi Shimogami dan Sayaka Hobara.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen