Terbuka Jepun: Soon Huat-Shevon Melangkah Ke Suku Akhir

July 17, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Tiket ke peringkat suku akhir Terbuka Jepun 2025 menjadi miliki Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai selepas berhasil mengetepikan cabaran daripada wakil Singapura, Terry Hee Yong Kai dan Jin Yu Jia.

Soon Huat-Shevon yang juga merupakan pasangan suami isteri berjaya merampas tiket tersebut selepas melakar kemenangan bergaya secara “straight set” ke atas lawannya menerusi skor 21-14 dan 21-17 dalam masa 32 minit.

Kemaraan ini memastikan Soon Huat-Shevon mengekalkan kemaraan ke peringkat suku akhir dalam tiga kejohanan berturut-turut yang disertainya sejak Terbuka Singapura 2025 dan Terbuka Indonesia 2025.

Lawannya di peringkat suku akhir belum ditentukan lagi. Namun, Soon Huat-Shevon akan menantikan cabaran samada daripada beregu senegara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin atau pasangan No.2 dunia dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin.

Berdasarkan rekod, Soon Huat-Shevon pernah bertembung Pang Ron-Su Yin sekali setakat ini, di Terbuka Artik 2024, dan berhasil mencatatkan kemenangan secara “straight set” menerusi skor 21-19 dan 21-15.

Sementara itu, Zhen Bang-Ya Xin pernah dihadapi mereka sebanyak lapan kali dan Soon Huat-Shevon hanya pernah melakar satu kemenangan sahaja.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd